Sabtu, 2 September 2017 | 6:18pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. -Foto Effendy Rashid

Jambatan Sultan Yusuf tutup hingga akhir tahun

TELUK INTAN: Jambatan Sultan Yusuf yang menghubungkan Teluk Intan dan Manjung di Kilometer 8, Jalan Maharajalela di sini, terus ditutup sekurang-kurangnya empat bulan lagi, berbanding jangkaan asal boleh digunakan semula dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata ia berikutan penemuan kecacatan serius pada jambatan itu yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.

"Lanjutan tempoh penutupan ini diperlukan kerana selepas melaksanakan penyelenggaraan termasuk penilaian ke atas struktur jambatan, didapati struktur di satu rentang jambatan perlu diperkukuh bagi memastikan ia selamat digunakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainol Fadzi berkata, pengguna jalan raya dari daerah Manjung diminta menggunakan laluan alternatif melalui Seberang Perak atau Bota Kanan menerusi Kampung Gajah untuk ke Teluk Intan, Bagan Datuk atau Sabak Bernam, Selangor.

Katanya, pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari arah selatan boleh menggunakan laluan susur keluar tol Simpang Pulai-Batu Gajah-Bota, manakala pengguna dari arah utara boleh menggunakan laluan susur keluar Ipoh Utara-Jelapang-Pusing-Bota untuk ke Manjung.

Beliau meminta orang ramai mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang sudah disediakan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jambatan berkenaan mulai ditutup pada 11 Ogos lalu dan awalnya dijadual dibuka semula pada 28 Ogos untuk kenderaan ringan.

23 dibaca
Berita Harian X