Jumaat, 1 September 2017 | 3:54pm
DATUK Abdul Rahman Mohamed Dewam.

Bekas Pengurus Besar PIJ meninggal dunia

JOHOR BAHRU: Bekas Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ), Datuk Abdul Rahman Mohamed Dewam, meninggal dunia awal pagi tadi.

Abdul Rahman, 61, menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan ahli keluarga pada jam 1.55 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Menurut anak keduanya, Abdul Hakim, 31, arwah bapanya dimasukkan ke hospital pada 13 Ogos lalu selepas mengadu demam sebelum dirujuk ke ICU beberapa hari lalu apabila disahkan terdapat jangkitan kuman pada hatinya.

"Ayah sebelum ini pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada April lalu di Institut Jantung Negara (IJN) dan kesihatannya semakin baik hinggalah dia demam pada 13 Ogos lalu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Sabariah Mohd Shariff, 53, seorang anak perempuan dan tiga lelaki serta dua orang cucu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh di sini, kira-kira jam 11.30 pagi tadi, sebelum Solat Jumaat.

Abdul Rahman sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dari tahun 2014 sehingga 2015 sebelum dilantik sebagai Pengurus Besar PIJ dari Ogos 2015 hingga Mac tahun lalu.

Berita Harian X