Selasa, 29 Ogos 2017 | 12:13pm
SEBAHAGIAN PATI pekerja ladang yang ditahan dalam Ops Ikrar Jabatan Imigresen Tawau di sebuah rumah pekerja ladang di Batu 37 Jalan Apas, awal pagi tadi. - Foto Ihsan JIM Tawau

22 PATI termasuk 10 wanita ditahan

TAWAU: Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 10 wanita ditahan Jabatan Imigresen dalam satu serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Batu 37 Jalan Apas dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan Ops Ikrar Jabatan Imigresen bermula jam 11 malam dan berakhir jam 5 pagi, semua yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Jabatan Imigresen Tawau, Noraini Rasi, berkata pelbagai alasan diberikan oleh mereka bagi mengelak daripada ditahan.

"Kita mendapati ada juga PATI itu bekerja di ladang berkenaan sejak lima tahun namun masih tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Ada juga pekerja ladang mendakwa mereka bekerja secara sah selain dijamin oleh majikan namun pemeriksaan lanjut mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit kerja yang sah," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Noraini berkata, semua PATI itu dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c), Akta Imigresen, 1959/63" katanya.

Sehubungan itu beliau meminta semua majikan agar memastikan pekerja mereka memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah untuk bekerja di negara ini.

Berita Harian X