Isnin, 28 Ogos 2017 | 2:49pm
GAMBAR fail. Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Durian,Nor Ismawahida Ahmad menggunakan bot di Jeti Jalan Wah Keng Jooi , Teluk Intan selepas Jambatan Sultan Yusuf di tutup sementara bagi kerja-kerja membaik-pulih. - Foto Ravale Savarinathan

Jambatan Sultan Yusuf masih ditutup

TELUK INTAN: Jambatan Sultan Yusuf yang menghubungkan Teluk Intan dan Sitiawan di Kilometer 8, Jalan Maharaja Lela di sini yang sepatutnya dibuka hari ini masih ditutup untuk kerja penyenggaraan hingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata penutupan itu dibuat bagi memberi laluan kepada kerja penyenggaraan jambatan yang masih lagi diteruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama pihak kontraktor.

 

Zainol Fadzi berkata, papan tanda jalan alternatif sudah diletakkan bermula dari Taman Desa Aman di Teluk Intan, manakala dari Sitiawan akan diletakkan di persimpangan FELCRA Changkat Lada.

 

"Pengguna diminta terus bersabar dan mematuhi papan tanda arah dan keselamatan yang disediakan di jalan terbabit.

 

"Kesulitan ini untuk kesenangan pada masa hadapan kita semua, komitmen dan kerjasama anda semua kami hargai serta permohonan maaf daripada kami atas perkara ini," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Katanya, JKR akan membuat keputusan selepas mendapat laporan dan pandangan daripada pihak forensik sama ada untuk memperbaiki keadaan dengan menutup keseluruhan jambatan ataupun penutupan satu lorong sahaja.

12 dibaca
Berita Harian X