Khamis, 24 Ogos 2017 | 11:52am
PENGERUSI BN Daerah Penampang, Datuk Donald Peter Majuntin melepaskan peserta Program Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Merdeka Negaraku Peringkat Daerah Penampang 2017. - Foto Mohd Nazllie Zainul.
PENGERUSI BN Daerah Penampang, Datuk Donald Peter Majuntin (dua dari kiri) bergambar bersama peserta pada Program Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Merdeka Negaraku Peringkat Daerah Penampang 2017, di disertai 130 peserta berbasikal dan 11 kenderaan pelbagai agensi kerajaan, di Penampang, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Nazllie Zainul.

Kembara Merdeka Penampang pupuk patriotisme

PENAMPANG: Program Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Merdeka Negaraku Peringkat Daerah Penampang 2017, di sini, hari ini, berlangsung meriah dengan disertai 130 peserta berbasikal dan 11 kenderaan pelbagai agensi kerajaan.

Kayuhan diketuai Pegawai Daerah Penampang, Lovita Koisun itu membabitkan laluan sejauh 25 kilometer, meliputi lapan perhentian dengan penamat di pekan Donggongon.

Antara lokasi perhentian adalah Sekolah Menengah (SM) ST Micheal, Sekolah Kebangsaan (SK) ST Joseph, SK ST Aloysius dan Tadika KEMAS Kampung Limbanak.

Peserta kayuhan dilepaskan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Daerah Penampang, Datuk Donald Majuntin.

Bercakap kepada media, Donald berkata, belia di daerah itu disaran bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti berunsur kenegaraan bagi meningkatkan jati diri dan semangat cintakan negara.

Katanya, kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya belia untuk menyertai program sedemikian semakin meningkat, namun perlu dilakukan berterusan supaya semangat berkenaan tidak hilang dalam diri masing-masing.

"Kita yakin kerajaan sentiasa komited melaksanakan banyak aktiviti yang boleh disertai golongan muda.

"Bagaimanapun, pendekatan di peringkat sekolah boleh diperhebatkan supaya kita boleh memupuk jiwa kemerdekaandi peringkat awal lagi," katanya.

Sementara itu, Lovita berkata, penganjuran kembara bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat di daerah itu, selain memberi kesedaran serta menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang.

"Saya berharap kedatangan kami di semua perhentian disambut baik, sekali gus mampu menyampaikan mesej cintakan negara," katanya.

Berita Harian X