Rabu, 23 Ogos 2017 | 12:35pm
SEKUMPULAN remaja dipercayai menghidu gam atas bumbung sebuah bangunan kedai di Kampung Air, Kota Kinabalu, yang viral di laman sosial pada tahun lalu. - Foto ihsan pembaca
MENTERI Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.- Foto Izhari Ariffin

'Jadikan hidu gam kesalahan dadah'

KOTA KINABALU: Sudah tiba masanya kegiatan menghidu gam dikategorikan sebagai kesalahan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi menangani penyalahgunaannya.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad, berkata langkah itu perlu berikutan tiada tindakan berkesan bagi menangani penagihan gam ketika ini, menyebabkannya terus berleluasa.

Beliau berkata, walaupun Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) boleh membantu dalam aspek pemulihan, ia tetap tertakluk kepada permintaan keluarga manakala usaha membanteras penagihan gam sukar dilakukan kerana bahan itu mudah dibeli.

"Setakat ini gam dimasukkan dalam jadual Akta Racun 1952, boleh dijual secara terbuka dan dibeli oleh sesiapa saja. Namun, peningkatan kes menghidu gam dalam kalangan remaja khususnya di Sabah membimbangkan kita.

"Sehubungan itu, langkah jangka panjang untuk menanganinya perlu diambil termasuk menguatkuasakan gam sebagai bahan berbahaya dalam Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden seorang remaja lelaki maut, manakala seorang lagi cedera parah akibat terjatuh dari bumbung bangunan setinggi lapan tingkat dipercayai dalam keadaan khayal selepas menghidu gam di sini, baru-baru ini.

Jainab berkata, kegiatan menghidu gam bukan saja merosakkan sistem saraf badan manusia, malah boleh menyebabkan masalah mental dalam kalangan penagihnya selain berisiko tinggi mengidap masalah jantung.

Selain penguatkuasaan undang-undang, katanya, aspek pemantauan perlu ditingkatkan dengan kerjasama semua pihak merangkumi ibu bapa, guru, pengurusan bangunan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

"Ibu bapa perlu memantau kegiatan anak manakala guru di sekolah perlu peka dengan masalah disiplin pelajar supaya tingkah laku negatif yang boleh memudaratkan masa depan dapat dibendung dari awal," katanya.

Jainab berkata, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) akan bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi di negeri ini bagi melaksanakan kempen kesedaran berkaitan bahaya dadah.

Berita Harian X