Isnin, 21 Ogos 2017 | 5:05pm
MD Amin Sarju (kiri) dibantu jiran menghias rumahnya dengan Jalur Gemilang sebagai persedian menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke 60 pada 31 Ogos ini.- Foto Mohd Rafi Mamat

Saling membantu hias rumah menjelang Hari Kebangsaan ke-60

KUANTAN: Kemeriahan menyambut Hari Kebangsaan ke-60 semakin dirasakan lebih 200 penduduk Taman Indera Sempurna, di sini yang sepakat menghias rumah mereka dengan Jalur Gemilang pelbagai saiz dan bentuk.

Penghuni yang tinggal di Lorong 17 dan Lorong 18 taman berkenaan sanggup mengeluarkan belanja antara RM100 hingga RM250 untuk membeli peralatan seperti kayu, tali dan pelbagai saiz Jalur Gemilang.

Mereka kemudian menghias rumah masing-masing secara gotong-royong.

Penjawat awam, Md Amin Sarju, 52 berkata beliau bersama penduduk lain menghias bahagian luar rumah secara gotong-royong bagi menceriakan persekitaran kawasan perumahan berkenaan.

"Ini juga untuk kami menyertai pertandingan sambutan Bulan Kemerdekaan dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Indera Sempurna.

"Saya mengeluarkan belanja lebih RM150 untuk membeli Jalur Gemilang pelbagai saiz dan bentuk. Setiap petang aktiviti memasang bendera dilakukan dengan bantuan jiran.

"Ini kali pertama pertandingan sambutan Bulan Kemerdekaan dianjurkan membabitkan kategori rumah dan lorong. Saya berharap kejayaan berpihak kepada kami yang mengadakan persiapan sejak dua minggu lalu," katanya.

Katanya, aktiviti itu secara tidak langsung meningkatkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan penduduk yang berganding bahu dan saling membantu menghias rumah bagi meraih kejayaan kategori lorong pada pertandingan itu nanti.

Kakitangan awam, Mohd Nuri Salleh, 40, pula berkata kerjasama dalam kalangan penduduk memasang bendera, menambah lagi kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

"Kalah menang adat pertandingan, apa yang penting semangat menyambut Bulan Kemerdekaan.

"Saya melakukan persiapan mengikut kemampuan kerana yang paling penting ialah penyertaan dan kerjasama dalam kalangan penduduk setempat," katanya.

Berita Harian X