Isnin, 21 Ogos 2017 | 10:55am
DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) melawat tapak niaga bersempena perasmian Uptown Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.- Foto Nurul Amanina Suhaini

Usahawan perlu lengkapkan diri

PASIR GUDANG: Usahawan berkualiti adalah golongan individu yang mampu mengupayakan diri dengan ilmu keusahawanan dan kemahiran bernilai tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil inisiatif dalam memastikan lebih banyak perniagaan diwujudkan, sekali gus menggalakkan rakyat terutama golongan belia bekerja sendiri.

Katanya, kejayaan yang dikecapi menerusi bidang keusahawanan menyumbang kepada kebolehsaingan Johor dan Malaysia amnya, sama ada di peringkat wilayah atau global.

"Antara nilai usahawan yang diharapkan adalah mereka yang mempunyai pemikiran kreatif, inovatif, bekerja kuat, tidak kalah dengan persaingan dan tidak bergantung kepada sesiapa.


DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin (kanan) diiringi Yang Dipertua MPPG, Hasrin Kamal Hashim (tengah) menandatangi plak perasmian sebagai simbolik perasmian Uptown Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.- Foto Nurul Amanina Suhaini

"Kita mahu melahirkan usahawan pelbagai kategori, pelbagai peringkat kekuatan dan persediaan, maka sudah tentu kita perlu memahami serta memikirkan perkara atau penyelesaian terbaik supaya mereka berjaya.

"Kerajaan negeri tidak mahu ia hanya menjadi hasrat atau harapan, sebaliknya mahu melihat ia benar-benar dapat diterjemahkan yang mana bukanlah semata-semata diberi kerajaan negeri, tapi juga semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Uptown Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim dan Pengerusi Perbadanan Islam Johor (PIJ), Redza Abd Malek.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri turut mewujudkan pusat hab kemahiran bagi memastikan setiap rakyat Johor memperoleh manfaat seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Berita Harian X