Sabtu, 19 Ogos 2017 | 1:04pm
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri) merasmikan Perlancaran Penjenamaan Semula Hotel Grand DarulMakmur. - Foto Rahim Othman

Hotel Grand DarulMakmur bukti kejayaan MUIP

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu menjadikan Hotel Grand DarulMakmur sebagai mercu tanda kepada kejayaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Baginda bertitah, walaupun bangunan sudah berusia, namun ia mampu menjadi sebuah hotel gah di Pahang yang diurus tadbir sepenuhnya oleh MUIP.

Titahnya, pemilikan hotel itu secara tidak langsung memberikan pelbagai keuntungan kepada MUIP dan memberi manfaat kepada rakyat setempat.

"Manfaat yang dapat dilihat seperti peluang pekerjaan, status halal untuk restoran, keuntungan dari hasil sewaan dan yang paling utama ialah kenaikan dalam harga nilaian semasa bangunan ini.

"Lokasi hotel yang terletak di tengah bandar memberi kelebihan berterusan dan menjadi kekuatan ekonomi orang Islam di bandar Kuantan," titahnya.

Baginda bertitah pada Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Hotel Grand DarulMakmur hari ini.

Hotel itu dikenali sebagai MS Garden sebelum ini, namun dijenamakan semula selepas MUIP membeli bangunan dan pegangan saham hotel terbabit Mei tahun lalu.

Tengku Abdullah bertitah, pembelian hotel itu oleh MUIP pada awal tahun 2012 menjadi isu di media sosial selepas ada pihak yang menyebarkan adakan cerita yang tidak benar untuk menghalang cadangan pihak majlis membeli bangunan itu daripada Dana Harta Sdn Bhd.

"Saya sendiri sebagai Yang Dipertua Majlis (MUIP) beberapa kali ditanya pemberita tentang hala tuju MUIP berhubung pembelian hotel ini.

"Tapi kini bangunan hotel ini berjaya dimiliki oleh pihak majlis dengan belian RM55 juta menggunakan sumber Baitulmal keseluruhannya," titahnya.

Baginda bertitah, penjenamaan semula hotel merangkumi kemudahan baharu, berkualiti dan layanan lebih baik ditawarkan oleh hotel seiring dengan pengubahsuaian lobi dan restoran demi keselesaan tetamu.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah yakin dan percaya nama baharu hotel itu mampu membawa potensi perniagaan lebih besar kepada industri perhotelan pada masa akan datang.

"Keputusan pihak majlis untuk menguruskan sendiri hotel ini satu keputusan tepat kerana pemilikan 100 peratus membolehkan pihak majlis mengatur perniagaan hotel mengikut budaya dan polisi majlis," katanya.

Baginda juga mahu kerajaan negeri lebih proaktif dalam mempromosikan kegiatan pelancongan di negeri ini.

Titahnya, infrastruktur dan prasarana untuk pelancong perlu diperbaiki dan diselenggara dengan baik.

69 dibaca
Berita Harian X