Jumaat, 14 Julai 2017 | 12:44pm

Langgar syarat punca DBKL rampas unit PA, PPR

KUALA LUMPUR: Pelanggaran syarat dan perjanjian adalah faktor mengapa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merampas semula 550 unit Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, berkata arahan itu wajar kerana ramai penghuni dikesan melanggar pelbagai syarat dan perjanjian menduduki rumah berkenaan.

"Pelanggaran syarat dan perjanjian itu seperti menyewakan kepada warga asing, menyewakan kepada pihak ketiga dengan kadar lebih tinggi berbanding kadar sewa ditetapkan DBKL selain penyewa tidak bermastautin di rumah berkenaan.

"Kita berharap tindakan ini tidak dipolemik atau dipolitikkan oleh parti pembangkang yang sudah pasti akan memutar belit fakta dan mensensasikan tindakan ini dengan mengatakan kerajaan bertindak kejam.

"Walhal ia amat wajar demi menunjukkan ketelusan dan memberi keadilan kepada semua pihak walaupun tidak dapat memenuhi keperluan semua," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas arahan Tengku Adnan baru-baru ini supaya DBKL merampas semula 550 unit PA dan PPR menerusi Operasi Pemutihan Perumahan DBKL yang didapati melanggar syarat perjanjian penyewaan bermula bulan Januari hingga Mei 2017.

Mohd Razlan berkata, usaha dan tindakan Tengku Adnan ini penting untuk memastikan unit PA atau PPR dipulangkan kepada mereka yang layak menerima.

Katanya, dengan tindakan ini, ia akan memberi peluang kepada golongan yang benar-benar memerlukan PA atau PPR untuk mendiami rumah berkenaan.

Pada masa ini, kira-kira 80,000 pemohon masih menunggu jawapan untuk menyewa rumah PA atau PPR.

28 dibaca
Berita Harian X