Rabu, 11 Disember 2019 | 12:46pm
Gambar fail, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika berucap pada Program Jelajah Komoditiku di Sandakan, 1 Disember lalu. - Foto Hazsyah Abdul Rahman

Shamsul Iskandar perlu cermin diri - Ketua Penerangan Wanita PKR

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, diminta cermin diri sebelum mengeluarkan kenyataan menghentam pimpinan lain dengan terbaru membabitkan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin.

Menyifatkan kenyataan Shamsul Iskandar sekadar batu api, Ketua Penerangan Wanita, Syarul Ema Rena Abu Samah, mendakwa Ahli Parlimen Hang Tuah itu gagal menjalankan tanggungjawab untuk memastikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) berjalan lancar.

Syarul Ema Rena melihat Shamsul Iskandar sebagai tidak layak mengeluarkan kenyataan mengkritik Zuraida kerana beliau gagal mengawal dan mengurus kongres.

“Dia sepatutnya cermin dulu diri sendiri sebelum mengkritik orang lain. Kita bukan sedang dalam pertandingan siapa paling pandai mengarang kenyataan untuk mengampu dan menjadi batu api.

“Orang yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan perjalanan Kongres AMK berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan ialah Shamsul Iskandar, seperti mana dalam perjanjian kedua-dua pihak.

“Shamsul Iskandar hanya lebih suka bermain politik daripada memastikan perjalanan urusan parti berjalan lancar.

“Tanggungjawab yang diberi gagal dilaksanakan dan Shamsul Iskandar tiada ketika huru-hara berlaku di luar pintu utama di mana Kongres AMK sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan, ahli parti hanya mahu mendengar kenyataan daripada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menyelesaikan isu sedang panas.

“Bagi menangani masalah berbangkit ketika ini, ia patut diselesaikan sendiri antara Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Saya mohon kepada yang lain supaya berhenti menjadi batu api dan ‘penjilat’.

“Rakyat sudah jelik, bosan dan ahli parti pun naik menyampah dengan situasi sekarang. Oleh itu, kita menggesa supaya pemimpin yang bukan daripada kalangan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden jangan masuk campur.

“Selaku Ketua Penerangan PKR, dia sepatutnya mencari jalan untuk menasihati Presiden untuk tindakan seterusnya dan bukan menjadi pengadu domba,” katanya.

Sebelum ini, Shamsul Iskandar mendakwa kenyataan Zuraida pada majlis makan malam ‘Wawasan Kemakmuran Bersama’ sebagai melampau dan kurang berakhlak.

Beliau dilaporkan berkata, kenyataan Zuraida yang lantang mencaci dan menghina beberapa pemimpin PKR, antaranya Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil, dan Pengerusi Majlis Pimpinan Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, jelas melampau serta terkeluar daripada landasan adab dan akhlak.

“Saya difahamkan Zuraida juga dengan bongkaknya membongkar beberapa perkara yang kononnya perbualan beliau dengan Presiden PKR.

“Ini adalah satu sifat jelik yang mana isi butiran sesuatu perbincangan dengan Presiden adalah satu amanah perlu dijaga dan tidak sewajarnya didedahkan kepada khalayak umum melainkan beliau mempunyai agenda tertentu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sehubungan itu, saya akan mencadangkan kepada Lembaga Disiplin untuk mengambil tindakan yang tegas dan keras terhadap Zuraida,” kata Shamsul Iskandar.

Berita Harian X