Rabu, 11 Disember 2019 | 11:48am
Kekecohan di pintu masuk dewan pada Kongres Nasional AMK di MITC, Jumaat lalu. - NSTP/Rasul Azli Samad

Lembaga Disiplin PKR mulakan siasatan kes kekecohan Kongres Nasional AMK

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin PKR memulakan siasatan kes kekecohan membabitkan ancaman fizikal pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Jumaat lalu.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Kasim, berkata siasatan polis juga akan dijadikan rujukan utama lembaga itu dalam mengambil tindakan ke atas ahli parti selaras saranan pucuk pimpinan.

Beliau berkata, semua ahli yang ada maklumat dan bukti mengenai salah laku disiplin parti diminta segera membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin.

“Lembaga Disiplin juga menimbang syor tindakan atau hukuman wajar dikenakan kepada ahli yang terbukti melanggar disiplin parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, dua kekecohan dilaporkan berlaku dengan yang pertama tercetus jam 8.25 pagi apabila kumpulan berbaju biru cuba memasuki dewan Kongres AMK tetapi dihalang kumpulan berbaju hitam.

Kekecohan kedua tercetus kira-kira jam 12.30 tengah hari apabila ada individu dipukul menggunakan objek keras dan berlaku rusuhan sehingga berlarutan ke luar bangunan itu.

Berita Harian X