Ahad, 8 Disember 2019 | 9:24pm
HILMAN Idham

Himpunan bukan tanda taasub pada pemimpin - Hilman Idham

KUALA LUMPUR: Penganjuran majlis makan malam bertemakan Wawasan Kemakmuran Bersama bukanlah mesej untuk menzahirkan sifat taasub kepada mana-mana pemimpin.

Majlis itu yang berlangsung di sebuah hotel di sini, sebaliknya disifatkan wadah untuk mengembalikan ahli PKR kepada idealisme dan prinsip parti yang digagaskan sebelum ini.

Mengemukakan penjelasan itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham, berkata sebarang gerakan meremehkan ‘perjuangan’ mereka tidak harus dipandang sebagai faktor penghalang untuk kekal pada landasan yang betul.

Sebaliknya, tindakan sedemikian seharusnya ‘dibalas’ dengan muafakat semua pihak untuk segera berdiri tegak dan teguh dengan menyatakan kebenaran demi meraih sokongan rakyat.

“Ini penting supaya PKR terus relevan hingga 30, 40 dan 50 tahun akan datang, dengan mengangkat serta memartabatkan maruah parti.

“Saya setuju dengan Tian Chua (Naib Presiden PKR) bahawa kesetiaan tidak perlu dizahirkan menerusi tindakan mengangkat plakad, tetapi cukup apabila kita terus kekal pada perjuangan dan idealisme parti.

“Bulatkan hati supaya apa yang kita lakukan adalah demi kepentingan rakyat,” katanya pada ucaptama sempena Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama, di sini, malam ini.

Majlis penghargaan terhadap ahli PKR selepas ‘berkampung’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka itu dihadiri hampir 3,000 orang, termasuk kepimpinan tertinggi parti.

Antara yang dilihat hadir Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua; Ketua Wanita, Haniza Talha; Menteri Besar Selangor merangkap ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Amirudin Shaari.

Susulan polemik di Melaka, Hilman berkata, semua pihak kini tidak dapat menafikan bahawa PKR berdepan krisis kepimpinan serius.

Bagaimanapun, isu lebih parah yang harus dihadapi ialah hakikat bahawa wujud kemerosotan dalam keyakinan rakyat terhadap PKR dan Pakatan Harapan (PH).

“Islam ajar kita apabila berdepan dengan masalah atau krisis, maka gunakan pedoman untuk kembali ke pegangan dan ajaran.

“Oleh itu, kita harus sorot semula sejarah dan matlamat PKR supaya terus jadi parti politik yang relevan serta menjadi harapan kepada rakyat Malaysia.

“Jangan kita cepat kecewa dan hilang semangat atau gundah-gulana (selepas apa yang berlaku) dalam tempoh beberapa hari ini,” katanya.

Berita Harian X