Jumaat, 6 Disember 2019 | 12:06am
Mohamed Azmin (tengah) pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kongres Wanita dan AMK di MITC, Melaka, malam ini. - NSTP/Rasul Azli Samad
Mohamed Azmin ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Wanita dan AMK di MITC, Melaka, malam ini. - NSTP/Rasul Azli Samad

'Saya gembira tradisi kekal' - Mohamed Azmin

AYER KEROH: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menzahirkan rasa gembira kerana dibenarkan merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR, seperti mana tradisi parti itu sejak ditubuhkan 20 tahun lalu.

Menyifatkannya sebagai tradisi unik, Mohamed Azmin menegaskan akan terus menyampaikan ucapan bagi merasmikan kedua-dua kongres itu, selagi mana memegang jawatan Timbalan Presiden PKR.

“Selagi saya Timbalan Presiden, selagi itulah tradisinya Timbalan Presiden akan merasmikan Kongres AMK dan Wanita PKR. Presiden akan rasmikan kongres utama, tidak ada yang mengejutkan.

“Saya rasa amat gembira kerana dapat terus bersama AMK dan Wanita PKR,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan 2019 di sini, hari ini.

Krisis kepimpinan PKR sebelum ini memuncak apabila kumpulan yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin merancang mengadakan satu himpunan berasingan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini, tarikh sama Kongres Nasional PKR berlangsung di Melaka.

Ia susulan perpecahan dalam kalangan AMK, apabila kumpulan diketuai Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, mahu Mohamed Azmin merasmikan sayap itu pada kongres terbabit seperti tradisi parti, manakala kumpulan pimpinan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bertegas perasminya ialah Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala Mohamed Azmin merasmikan kongres Wanita PKR.

Bagaimanapun, pertemuan antara Anwar dan Mohamed Azmin semalam berjaya mencapai muafakat, apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu diputuskan untuk kekal merasmikan Kongres AMK dan Wanita PKR serentak, manakala Dr Wan Azizah menutup kedua-dua kongres sayap itu.

Berhubungan status hubungannya dengan Anwar, Mohamed Azmin menegaskan hubungan kerjanya dengan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson serta pimpinan lain, sentiasa positif dan baik.

“Hubungan kerja saya dengan Presiden, Majlis Pimpinan Pusat, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita sentiasa baik dan positif.

“Mungkin media rasa pelik kerana selama 60 tahun media melaporkan sebuah parti yang tak boleh ada perbincangan dan perbezaan pandangan dalam kepimpinan.

“Bila media tengok Presiden (PKR) dan Timbalan Presiden boleh berbeza pandangan, media terkejut, sebab dia pelik tapi bagi kami tidak. Ini satu demokrasi yang sihat,” katanya.

Berita Harian X