Jumaat, 29 November 2019 | 5:28pm
TIMBALAN Angkatan Muda Keadilan (AMK) , Hilman Idham. NSTP/Roslin Mat Tahir.

Dr Wan Azizah hanya rasmi penutup kongres AMK - Hilman

KUALA LUMPUR: Penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetap bertegas mahukan Timbalan Presiden PKR itu menyempurnakan perasmian serentak Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 5 Disember ini.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya dijemput untuk merasmikan penutup Kongres AMK pada hari kedua yang juga hari akhir persidangan sayap.

Beliau berkata, keputusan itu sudah dinyatakan selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat AMK, 20 November lalu berdasarkan tradisi konvensyen yang diamalkan parti sebelum ini.

“Datuk Seri Azmin akan rasmi majlis perasmian pembukaan Wanita dan AMK. Datuk Seri Wan Azizah hanya perasmian penutup AMK,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu diminta mengulas kenyataan terkini Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang mengesahkan perasmian sayap PKR itu dibuat pada tarikh berbeza dengan Dr Wan Azizah akan merasmikan kongres AMK pada 6 Disember, manakala Azmin merasmikan kongres Wanita, sehari sebelum itu.

“Setakat yang dimaklumkan hingga hari ini, untuk perasmian Wanita, pihak sekretariat Kongres Wanita memaklumkan akan dirasmikan Timbalan Presiden, manakala AMK akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri,” kata Ahmad Fahmi.

Isu pemimpin yang akan merasmikan AMK dan Wanita sudah berlarutan sejak beberapa minggu lalu apabila Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir membatalkan undangan kepada Azmin, sebaliknya menjemput Dr Wan Azizah.

Selain isu jemputan merasmikan kongres, AMK turut terpalit krisis kepemimpinan apabila pengerusi dan timbalan pengerusi tetap dilucutkan jawatan kerana isu usia dan pengundi yang meragukan menjelang Kongres Nasional Tahunan pergerakan itu di Melaka minggu depan.

Berita Harian X