Selasa, 26 November 2019 | 9:07am
Gambar fail, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim. - Foto Zunnur Al Shafiq

Anwar, Saifuddin berkuasa ubah keputusan pemecatan - Ahmad

KUALA LUMPUR: Hanya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, boleh membuat keputusan sama ada perlu menarik balik atau mengekalkan tindakan parti memecat dua ahlinya Sabtu lalu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim menjelaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan yang dibuat pucuk kepemimpinan parti terutama dalam soal pemecatan ahli.

Lembaga Disiplin juga tegasnya hanya boleh memberikan syor kepada pucuk kepemimpinan parti bentuk hukuman atau tindakan yang boleh dikenakan terhadap ahli jika terbukti melanggar peraturan termasuk terbabit rasuah.

“Tanya Presiden atau Setiausaha Agung. Saya tidak mahu ulas. Peranan Lembaga Disiplin hanya mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk mengambil tindakan yang wajar jika ada bukti ahli parti melanggar peraturan.

“Terpulang kepada MPP mahu terima atau tolak syor Lembaga Disiplin,” katanya kepada BH, hari ini.

Penjelasan Ahmad ini dijangka mengusutkan lagi kontroversi melanda PKR yang ketika ini terpecah kepada dua iaitu kumpulan pro-Anwar dan pro-Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sabtu lalu, dua ahli PKR termasuk anggota MPP, Zakaria Abdul Hamid yang diketahui pro- Mohamed Azmin, dipecat kerana terbabit dalam isu rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Pemecatan Zakaria yang juga Ketua PKR Cabang Bera dan Ismail Dulhadi, bekas Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkuat kuasa serta merta selepas Lembaga Disiplin PKR menerima bukti kukuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lembaga Disiplin PKR menerima sepucuk surat daripada SPRM bertarikh 23 Oktober lalu berhubung salah laku membabitkan dua ahli terbabit.

Zakaria bagaimanapun mendakwa beliau tidak pernah dipanggil Lembaga Disiplin untuk membela diri berhubung dakwaan rasuah terhadapnya seperti didedahkan SPRM.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, semalam mengakui suruhanjaya itu tidak sepatutnya mengeluarkan surat cadangan tatatertib kepada mana-mana parti politik.

Jelas beliau, SPRM terkhilaf apabila menghantar surat sedemikian kepada PKR baru-baru ini, yang antara lain mencadangkan tindakan tatatertib ke atas ahlinya kerana melanggar kod etika parti berkenaan.

Sehubungan itu, SPRM akan menghantar surat pemakluman dan penjelasan kepada Pengerusi Lembaga Disiplin PKR bagi mengelak timbul salah faham pada masa akan datang.

Berita Harian X