Sabtu, 23 November 2019 | 3:42pm
MUKHRIZ selepas Perasmian Karnival Pendidikan Kerjaya dan Keusahawan Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jerlun, Jalan Kodiang. - Foto Amran Hamid

Beri masa menteri, timbalan menteri timba pengalaman - Mukhriz

JERLUN: Menteri dan timbalan menteri perlu diberikan masa supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat.

Bagaimanapun, setakat ini Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata beliau berpuas hati dengan prestasi menteri dan timbalan menteri.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, bukan mudah bagi seseorang individu menerajui organisasi besar seperti kementerian dan perlu membiasakan diri dengan selok-belok pengurusan untuk meningkatkan tahap keberkesanan masing-masing.

“Kita sebenarnya kenalah bagi ruang kepada mereka untuk timba pengalaman, belajar daripada pegawai yang ada dan daripada situ, buat keputusan atau buat dasar yang menepati permintaan rakyat.

“Tempoh setahun lapan bulan ini sangat singkat dan saya bersimpati dengan menteri dan timbalan menteri sekarang kerana sebelum ini mereka bergelar pembangkang,” katanya.

Mukhriz mengulas kenyataan beberapa penganalisis politik bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu segera melakukan rombakan Kabinet bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, persiapan negara sebagai tuan rumah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun hadapan dikhuatiri terjejas sekiranya berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

“Tun (Dr Mahathir) membayangkan bahawa kalau pun ada (rombakan) yang masih belum disahkan, akan makan masa sikit dan tunggu selepas APEC habis.

“Kalau nak buat sebelum APEC, saya khuatir akan menimbulkan keadaan ketidaktentuan kerana orang baru yang dilantik pun nak kena belajar juga,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawanan 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jerlun.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Dr Salmee Said.

Pada karnival itu, Mukhriz turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM300 setiap seorang kepada 390 pelajar yang layak memasuki Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Berita Harian X