Rabu, 20 November 2019 | 3:07pm
Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof. - NSTP/Nadim Bokhari

GPS tunggu dan lihat

KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum membuat keputusan sama ada menyokong atau menolak usul undi percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meneruskan kepemimpinan sehingga tamat penggal jika ia dibentangkan di Parlimen.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia hanya akan diputuskan apabila usul itu dibawa untuk dibentangkan di Dewan Rakyat seperti yang didakwa segelintir pihak.

“Belum buat keputusan, belum tahu sama ada menyokong atau tidak (usul undi percaya), kita bersiap sedia saja... (keputusan) bergantung kepada usul, nanti kita baru putuskan, belum ada usul buat apa kita bercakap,” katanya kepada BH di Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut menegaskan GPS memfokuskan kepada pembangunan Sarawak dan pakatan itu bersifat bebas serta neutral.

“Tapi untuk kerajaan Malaysia, kita sokong mana-mana yang membentuk kerajaan sebab kita terikat di bawah Perlembagaan,” katanya.

Diminta mengulas pertemuan sulit antara wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Isnin lalu, Fadillah berkata beliau tidak mengetahuinya.

Bagaimanapun beliau berkata ramai yang bercakap dalam isu usul undi percaya atau tidak percaya kepada Dr Mahathir.

“Kuat sangat bercakap DAP, kalau betullah DAP dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tak percaya dengan Tun (Dr Mahathir), buatlah usul undi tak percaya... nanti bila ada baru kita (GPS) bercakap,” katanya.

Isu usul undi percaya kepada kepemimpinan Dr Mahathir akan dibentangkan di Dewan Rakyat timbul susulan pertemuan sulit antara Mohamed Azmin dan wakil rakyat BN.

Berita Harian X