Selasa, 19 November 2019 | 5:23pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (duduk empat, kiri) bergambar bersama penuntut-penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sempena Program Ministerial Talk Series dan Majlis Perasmian Food Bank Siswa UMK hari ini. - Foto BERNAMA

Pertemuan Azmin timbul rasa curiga

ALOR SETAR: Pertemuan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Ahli Parlimen pembangkang di kediaman rasminya malam tadi, mengundang rasa curiga dan sangsi.

Ia berikutan berlaku tidak sampai 72 jam kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan perjumpaan itu dianggap dilakukan pada waktu tidak tepat berikutan keputusan pada PRK Tanjung Piai memberi kejutan luar biasa kepada PH.

Tegasnya juga, pertemuan itu adalah keputusan kurang bijaksana dilakukan Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, walaupun tidak diketahui maksud tersurat atau tersiratnya.

“Kenapa saya anggap masa pertemuan itu kurang tepat dan kurang bijaksana kerana PH adalah politik yang terjalin atas dasar politik saling mempercayai dan hormat-menghormati.

“Jadi sebarang tindak tanduk yang mengundang persepsi yang boleh menimbulkan curiga dan sangsi, maka adalah paling bijak jika ia dapat dielakkan.

“Oleh kerana perkara itu sudah berlaku dan secara kebetulan pada 23 November (Sabtu ini) akan berlangsung mesyuarat bulanan Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad, saya percaya sesiapa pun boleh membangkitkan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertemuan antara Mohamed Azmin bersama beberapa Ahli Parlimen BN dan PKR di kediamannya di Presint 10, Putrajaya, malam tadi.

Semua wakil rakyat terbabit dipercayai berada di situ sejak jam 7 malam, sebelum beransur-ansur meninggalkan kediaman Mohamed Azmin mulai jam 11 malam, diakhiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin.

Ketika ditanya adakah PKR akan mengambil tindakan disiplin ke atas Azmin, Saifudin berkata perkara itu belum dibincangkan kerana keutamaan sekarang adalah memastikan PH terus utuh menjadi kerajaan yang berfungsi.

“Perkara (ambil tindakan) itu belum timbul lagi sebab ia baru berlaku semalam, saya juga tak mahu komen jika ia adalah suatu komplot atau tidak.

“Saya tak mahu ke tahap itu lagi selagi belum ada laporan lengkap,” katanya.

Terdahulu, Saifudin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hadir ke Majlis Anugerah Khas dan Program Berkhatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau, Pokok Sena, di sini, hari

ini.

Berita Harian X