Ahad, 17 November 2019 | 4:35pm
Calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (empat dari kanan) memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim malam tadi. - Foto BERNAMA

Pengundi mahu PH segera selesai masalah rakyat

KUALA LUMPUR: Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) adalah petunjuk pengundi mahu kerajaan lebih proaktif menyelesaikan masalah rakyat.

Penganalisis politik berpendapat PRK itu turut menjadi petunjuk yang pengundi mahu menegur PH supaya lebih fokus dalam usaha menunaikan janji pilihan raya seperti terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis, berpendapat pengundi menggunakan PRK untuk menegur PH supaya segera menyelesaikan masalah mereka.

“Ia menjadi petunjuk jelas pengundi memilih BN untuk ‘menegur’ PH yang dilihat perlahan menunaikan janji. Pada masa sama PH dilihat tidak berkesan sebagai pakatan politik dan kerajaan terutama dalam isu kepemimpinan parti,” katanya, hari ini.

Dalam PRK itu, calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai, dengan majoriti 15,086 undi selepas memperoleh 25,466 undi, manakala pesaing terdekatnya daripada PH, Karmaine Sardini, mendapat 10,380 undi.

Empat calon lain yang bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai ialah calon GERAKAN, Wendy Subramaniam yang memperoleh 1,707 undi, Presiden BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850 undi) dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi).

Mujibu turut berpendapat kekalahan dialami PH juga menjadi satu rahmat kepada gabungan itu kerana sebagai kerajaan, mereka masih mempunyai masa yang panjang untuk berusaha menunaikan janji terkandung di dalam manifesto.

Namun katanya, PH perlu segera mengurangkan ‘politik celaru’ yang menghantui parti itu terutama dalam isu ‘minum sesudu sawit’, ‘kereta terbang’ dan ‘janji menghapuskan tol’ kerana rakyat berasakan mereka diperolok-olokkan seperti pada zaman BN dulu.

“PH juga perlu perbetulkan kepemimpinan mereka supaya kelihatan kuat dan berwibawa, bukan kucar kacir dan bertelagah sesama sendiri. Segerakan pelan peralihan kuasa kerana itu juga antara yang rakyat lihat sebagai ketidaktentuan dalam PH yang mengurangkan keyakinan mereka kepada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Jayum Jawan, menolak pandangan keputusan PRK Tanjung Piai sebagai isyarat rakyat tidak berpuas hati terhadap kerajaan terutama dalam menangani isu ekonomi, kejatuhan harga komoditi dan isu peralihan kuasa.

“Tidak. Faktor penting yang mempengaruhi pengundian ialah sifat dan pemikiran etnik. Keputusan PRK menunjukkan konsolidasi etnik.

“Orang Melayu mengundi BN kerana risau kekuasaan Melayu merosot dalam PH dan melihat DAP memainkan peranan kuat dalam mempengaruhi arah pemerintahan kerajaan. Justeru, mengundi Jeck Seng itu mengundi Melayu atau UMNO dan juga PAS,” katanya.

Mengenai sokongan pengundi Cina yang meningkat kepada BN, beliau berpendapat kaum terbabit mengundi BN atau MCA kerana tidak percaya DAP mampu memperjuangkan nasib mereka.

“Sejak tahun 2018, kaum Cina masih menunggu apakah faedah yang mereka akan dapat kerana menyokong DAP. Tetapi penantian itu mengecewakan kerana yang mendapat untung daripada sokongan itu ialah pemimpin DAP,” tegasnya.

Beliau turut menolak pandangan segelintir pemimpin PH yang keputusan ditunjukkan dalam PRK itu menuntut peralihan kuasa di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu disegerakan.

“Keputusan PRK ini tidak ada kaitan dengan pelan peralihan kuasa. Mana mungkin peralihan kuasa ditentukan atau dipengaruhi keputusan PRK di Tanjung Piai. Ia tidak mewakili sifat Malaysia atau 221 kerusi parlimen lain.

“Jika ada pun, kepemimpinan Dr Mahathir tidak perlu diganggu kerana keputusan ini menunjukkan ketidakstabilan politik. Sebaliknya kepemimpinan PH perlu dibaik pulih terlebih dulu sebelum sebarang peralihan kuasa boleh dilaksanakan,” katanya.

Berita Harian X