Khamis, 14 November 2019 | 9:43am
Berbaki dua hari kempen PRK Parlimen Tanjung Piai, pastinya calon yang bertanding akan meningkatkan usaha untuk menawan hati pengundi. - Foto BERNAMA

Janji, isu diperjuangkan calon PRK Tanjung Piai lebih realistik dicapai

PONTIAN: Berbaki dua hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, pastinya calon yang bertanding akan meningkatkan usaha untuk menawan hati pengundi yang ternyata berbeza demografinya berbanding lapan PRK yang berlangsung selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sebelum ini.

Antara yang menjadi perbandingan pastinya manifesto atau janji yang dilihat ‘dekat dengan hati rakyat’, yang berkemungkinan menjadi faktor penentu bagi pengundi untuk memilih wakil rakyat bagi parlimen mereka bagi tempoh berbaki kira-kira tiga tahun setengah.

Apa yang boleh dilihat, kebanyakan calon menjanjikan sesuatu yang lebih realistik, sekali gus menjadikan mereka yakin bahawa ia mampu dilaksanakan sekiranya seorang daripada mereka terpilih menjadi wakil rakyat parlimen itu.

Bagi calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, pastinya lima fokus yang digariskan parti lebih awal menjadi tonggak baginya untuk menunaikan tanggungjawab sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Karmaine (dua dari kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika program Borak Kopitiam di Restoran Gao Yuan, Jalan Sawah Pekan Nenas, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Lima fokus itu adalah mencari jalan bantu tangani isu kos sara hidup, menangani isu berkenaan pencemaran alam dan sungai, memperbanyakkan rumah mampu milik, meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan serta meningkatkan peluang pekerjaan.

“Saya rasa selain lima isu yang dibangkitkan, kita sudah kenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai seperti jambatan baharu yang akan merentasi Sungai Pulai akan menjadi penghubung baharu dari Johor Bahru ke Tanjung Piai.

“Ini juga adalah satu faktor untuk menaikkan ekonomi dalam industri pelancongan, selain mengambil kira tiga sektor penting (di Tanjung Piai) iaitu dari segi ekonomi pertanian, perikanan dan industri,” katanya seawal ketika diumumkan sebagai calon PH, beberapa minggu lalu.

Keyakinan yang dilahirkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu pastinya disebabkan dorongan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang kedua-duanya dipimpin kerajaan PH.

Sementara itu, dua lagi calon juga tidak mahu ketinggalan dalam menangani isu yang menjadi kebimbangan rakyat di Parlimen Tanjung Piai.

Bagi calon GERAKAN, Wendy Subramaniam, beliau menggariskan tiga perkara utama yang dilihat boleh memastikan kesejahteraan penduduk kawasan parlimen berkenaan.

Calon GERAKAN bagi PRK PArlimen Tanjung Piai, Wendy Subramaniam. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Tiga perkara itu memfokuskan kepada usaha menambah peluang pekerjaan dalam usaha mempertingkatkan peluang ekonomi dan industri masyarakat Tanjung Piai, menangani kenaikan kos sara hidup selain menjaga kebajikan dan keselamatan sosial masyarakat di situ.

“Saya akan berusaha untuk memajukan ekonomi dan sektor pelancongan tempatan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi menarik balik anak muda bekerja di sini,” katanya yang sudahpun bertemu penduduk meliputi 60 peratus daripada 27 kawasan pusat daerah mengundi (PDM) setakat Isnin lalu.

Sementara itu, calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (BERJASA), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, menyifatkan tawaran parti itu bukanlah bersifat berhati-hati, tetapi menggambarkan satu ‘kejujuran’ sebagai pembangkang.

Calon BERJASA bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (kanan) bertemu pengunjung bagi mendapatkan sokongan pengundi di pasar malam Taman Utama, Pekan Nenas, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

“Bukan semuanya material. Tawaran itu sesuai dengan keperluan tempatan. Selain itu, membangunkan jati diri penting untuk membina masyarakat yang berpegang teguh dengan agamanya agar masalah sosial dapat dihindari,” katanya.

Menurutnya, sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawabnya untuk membawa suara rakyat supaya keperluan asas itu tidak diabaikan oleh kerajaan.

BERJASA menawarkan empat tawaran iaitu melahirkan lebih ramai usahawan atau pemborong Melayu bagi membantu petani dan nelayan, mengetengahkan projek usahawan desa yang memasarkan produk di peringkat lebih tinggi, memaksimumkan projek pembangunan tanah untuk ekonomi orang Melayu serta memperkasa institusi kekeluargaan melalui Program Keluarga Syurga Tanjung Piai.

PRK Parlimen Tanjung Piai bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru Sabtu ini, yang turut membabitkan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan dua calon bebas iaitu Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Dr Ang Chuan Lock. – BERNAMA

Calon BN bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (dua dari kanan) bersenam bersama pengunjung ketika Program Senaman Pagi di Padang Awam Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Berita Harian X