Khamis, 14 November 2019 | 8:03am
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) mengangkat tangan bersama Karmaine pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan sempena PRK Parlimen Tanjung Piai di Kukup malam tadi. - Foto BERNAMA
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) berucap sambil memperkenalkan Karmaine ketika Program Sembang Santai - Mesra Harapan Kampung Lubok Sawah di Kampung Bakar Arang, Pekan Nenas Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Perwatakan Karmaine disenangi warga Tanjung Piai

PONTIAN: Sejak diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 28 Oktober lalu, nama Karmaine Sardini, 66, menjadi sebutan penduduk di kawasan Parlimen Tanjung Piai, sama ada sebab yang positif mahupun negatif.

Dari aspek positif, beliau dilihat sebagai individu yang cenderung ke arah keagamaan malah pernah menjadi imam Masjid Al-Muttaqin, Taman Sutera, Johor Bahru, selain menjadi Penasihat Pusat Tahfiz Al-Irsyad, Taman Sutera dan Pengerusi Biro Agama Bersatu Johor.

Beliau juga adalah penerima Anugerah Ibu Bapa Mithali Peringkat Daerah Johor Bahru pada 2009.

Dalam aspek negatif, tidak sampai dua jam selepas diumumkan menjadi calon PH, Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu bukan saja diperli sebagai ‘calon tua’, malah Diploma Lanjutan dalam Senibina yang diterimanya daripada Institut Teknologi Mara pada 80-an turut dituduh palsu, namun banyak pihak mengesahkan kelayakan beliau adalah benar.

Dalam berkempen, Karmaine masih mengekalkan sikap merendah diri, selain sikapnya yang tenang serta lenggok percakapannya penuh tertib, membuatkan susuk tubuh berusia 66 tahun itu, mudah untuk mendekati masyarakat pelbagai lapisan umur dan kaum yang tinggal di Parlimen Tanjung Piai.

Karmaine (berdiri, dua dari kiri) melihat Srikandi BERSATU menyiapkan kertas slip undi ketika lawatan ke Pusat Daerah Mengundi Kampung Melayu Raya, Pontian. - Foto BERNAMA

Karmaine (dua dari kanan) melawat Rahman Hassan, 68, pada Program Ziarah Kasih di Taman Utama, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Karmaine dilihat amat mudah mesra dan bergaul dengan sesiapa saja yang beliau temui ketika berkempen.

Ketika BERNAMA mengikuti kempennya, apabila diteliti cara beliau mendekati pengundinya tidak hairanlah jika setiap sesi pertemuan itu riuh dengan gelak tawa, malah beliau dilihat begitu fokus setiap kali mendengar luahan hati penduduk dan memastikan pegawai pengiring atau jentera mencatat nota hasil pertemuan itu.

Sesekali, Karmaine yang terlalu fokus mendengar masalah penduduk, pegawai pengiringnya dilihat berbisik kepadanya mengingatkan beliau perlu mengikut jadual kempen yang telah diatur dan berkejar ke lokasi lain.

Seorang pengundi di Parit Sulaiman dekat Teluk Kerang, Yaacob Ruseli, 51, berkata cara ‘ayam tambatan’ PH itu mendekati penduduk melambang ciri-ciri kepemimpinan seorang wakil rakyat yang amat disenangi.

“Kalau tengok pada poster beliau, nampak macam pendiam…namun bila berjumpa sendiri orangnya amat peramah. Tuan haji (Karmaine) ini, dia banyak tanya masalah yang dihadapi berbanding hanya melobi untuk meminta undi, jarang jumpa bakal wakil rakyat bersikap seperti ini,” katanya.

Pengundi muda, Ahmad Firdaus Ahmad Harun, 26, berkata sifat kepemimpinan yang ditonjolkan bekas imam Masjid Al-Muttaqin di Johor Bahru serupa seperti bekas wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang amat mesra dengan rakyat khususnya golongan belia.

“Arwah (Dr Md Farid) memang terkenal dengan berjiwa anak muda dan apabila berjumpa dengan tuan haji (Karmaine), saya tak rasa kekok untuk berborak walaupun beliau lebih berusia. Sikapnya sama seperti arwah,” katanya.

Karmaine (tiga dari kanan) bersalaman dengan anggota polis pada hari mengundi awal PRK Parlimen Tanjung Piai, di Rumah PERKEP, Ibupejabat Polis Daerah Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Bagi anak muda itu, pemimpin yang tidak meletakkan jurang usia atau kaum apabila bertemu rakyat akan lebih mudah untuk mengekalkan sokongan selain sebagai penanda aras kewibawaan seseorang pemimpin itu.

Sementara itu, pengundi di Kukup, Mah Seng Yue, 44, yang pertama kali bertemu dengan calon PH itu mengakui teruja dan percaya keputusan parti kerajaan meletakkan Karmaine sebagai calon adalah tepat.

“Walaupun berbeza kaum, tetapi cara beliau berjumpa pengundi Cina di sini amat disenangi, beliau mudah bercakap, mahu mendengar luahan kami, beliau sangat baik,” jelasnya yang akan mengundi di Serkat pada Sabtu ini.

Sehingga semalam, Karmaine berkata kempennya sudah meliputi 100 peratus kawasan Parlimen itu dan kini kempennya memasuki pusingan kedua.

Bagi PRK itu, Karmaine berdepan saingan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (GERAKAN) dan Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (BERJASA) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai. PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid, 42, pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung. – BERNAMA

Berita Harian X