Khamis, 7 November 2019 | 10:56am
TUAN Ibrahim Tuan Man

Tiada keperluan bincang calon dengan komponen GAGASAN - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pertelagahan antara dua parti komponen Gagasan Sejahtera (GAGASAN) berhubung isu calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dilihat berterusan apabila masing-masing kekal mempertahankan pendirian dan keputusan yang diambil.

PAS hari ini mendakwa perselisihan faham dalam isu berkenaan berpunca daripada kegagalan kepemimpinan lama Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) memaklumkan asas muafakat yang disepakati antara parti pembangkang kepada kepemimpinan baharu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata asas muafakat yang wujud antara GAGASAN dan Barisan Nasional (BN) dipersetujui selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, asas muafakat itu membabitkan persetujuan semua parti dalam GAGASAN dan BN iaitu mana-mana kerusi yang memberi undi lebih kepada satu-satu parti, kerusi itu akan kekal ditandingi parti berkenaan kecuali diberi laluan kepada parti lain.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menegaskan tiada keperluan untuk membincangkan isu calon PRK Parlimen Tanjung Piai dalam mesyuarat Majlis Presiden GAGASAN kerana sudah ada dasar dan asas muafakat yang mengikat parti pembangkang.

“Asas muafakat ini sudah ada dan dipersetujui sejak lepas PRU lalu, namun kepemimpinan baharu dalam BERJASA mungkin tidak dimaklumkan. Sebab itu kita hubungi mereka sebelum penamaan calon dan maklumkan pendirian parti berasaskan persetujuan itu.

“PAS berpegang dengan asas muafakat itu selagi tiada keputusan baharu. Tak ada keperluan (berbincang dengan komponen GAGASAN) sebab sudah ada dasar sebelumnya” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, BH Online melaporkan PAS didakwa membelakangkan rakan komponen dalam pakatan politik GAGASAN apabila tidak membincangkan keputusan menyokong calon MCA pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Laporan itu menyebut, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu juga didakwa gagal menghormati dan menyambut baik pandangan rakan gabungan mereka supaya isu calon PRK berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden GAGASAN.

Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad, dilaporkan berkata selaku parti komponen, BERJASA, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) tidak pernah dipanggil untuk berbincang soal calon PRK Parlimen Tanjung Piai.

PAS dan BERJASA membentuk kerjasama politik dalam GAGASAN selaku blok kuasa ketiga bersama IKATAN, PCM dan ratusan badan bukan kerajaan (NGO) pada 2016.

Tindakan BERJASA mempertaruhkan presidennya, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz, pada PRK 16 November ini bertentangan dengan pendirian PAS yang sejak awal lagi menyokong calon dari MCA untuk bertanding merebut kerusi yang kosong sejak September lalu.

Berita Harian X