Khamis, 7 November 2019 | 7:15am
ABDUL Hadi Awang. - Foto NSTP/Supian Ahmad

PAS turun ke Tanjung Piai sokong calon MCA

PONTIAN: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malam tadi mengesahkan bahawa parti itu turun ke Tanjung Piai untuk menyokong MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen itu.

Beliau berkata itu adalah isyarat untuk memastikan kemenangan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen itu.

“PAS boleh menyokong calon MCA yang dianggap bukan Islam...perlu difahami Islam yang diajar bukan saja satu agama tetapi Islam juga adalah cara hidup, antaranya Islam mengajar kita hidup bermasyarakat yang majmuk.

“Walau kita berbeza pendapat tapi ada sepakat dan bersama untuk Malaysia dalam satu bahtera. Calon MCA adalah mewakili kita semua,” katanya dalam ucapan pada Ceramah Perdana BN di Rimba Terjun, di sini.

Turut hadir, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Jeck Seng.

Berjasa adalah sekutu PAS bawah Gagasan Sejahtera.

Pengundian bagi PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini susulan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari Pakatan Harapan (PH) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon PH, Karmaine Sardini, Jeck Seng (BN); Wendy Subramaniam (GERAKAN) , Datuk Dr Ir Badhrulhisham Abdul Aziz (BERJASA) dan dua orang calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar. - BERNAMA

Berita Harian X