Ahad, 3 November 2019 | 4:16pm
CALON Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (tengah) beramah mesra dengan penduduk ketika ditemui di Pekan Nanas, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Calon akui kempen PRK lebih mencabar

PONTIAN: Calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mengakui kempen kali ini lebih mencabar, berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Katanya, paling jelas perbezaan ialah status partinya kini sebagai pembangkang, selain peruntukan untuk berdepan PRK.

“Memang berbeza sepenuhnya. Kita (BN) hari ini pembangkang. PRU lalu kita masih lagi kerajaan.

“Bila cerita soal peruntukan, kalau dapat kita lihat sebulan sebelum penamaan calon semalam, ramai menteri, timbalan menteri datang ke kawasan ini.

“Semua mereka datang kononnya untuk membantu masyarakat di sini dengan mengumumkan projek, selain peruntukan,” katanya ketika ditemui di Pekan Nanas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jeck Seng berkata, beliau tidak fikir masyarakat di Tanjung Piai termakan dengan sentimen perkauman yang cuba dimainkan pihak tidak bertanggungjawab sepanjang kempen.

“Di sini, kita harmoni dan masyarakat di sini berbilang kaum. Melayu, Cina dan India semua keluarga saya.

“Mengapa perlu lakukan itu (sentimen perkauman). Kita perlu harmoni, kita rakyat Malaysia dan bangsa Johor,” katanya.

Katanya, rakyat Tanjung Piai lebih mengetahui mana baik dan buruk, selain bijak membuat pilihan dalam PRK kali ini.

Sementara itu calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, berkata walaupun berasal dari kawasan Tanjung Piai, beliau tetap tidak mengambil mudah saingannya.

Katanya, beliau akan bertemu dengan semua pengundi di kawasan bandar dan luar bandar, selain tidak memilih kawasan tertentu yang sebelum ini berpihak kepada PH.

“Saya nak jumpa semua. Nak pergi semua tempat. Kalau boleh saya sasar mungkin jumpa 10,000 pengundi sehari,” katanya.

Karmaine berkata, berdasarkan tinjauan bersama rakyat, mereka mahu infrastruktur seperti membaiki jalan rosak dan ia akan ditangani secara berperingkat-peringkat.

Selain itu, katanya dia mahu menjadi wakil rakyat untuk semua kaum, bukan wakil rakyat Melayu hanya berkhidmat kepada kaum itu saja.

“Wakil rakyat kerja untuk semua. Kalau untuk satu kaum saja, itu bukan wakil rakyat,” katanya.

Berita Harian X