Sabtu, 2 November 2019 | 9:41am
Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini bersama penyokong berarak ke perkarangan dewan ketika majlis Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon PRK P165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim
Calon Gerakan, Wendy Subramaniam bersama penyokong berarak ke perkarangan dewan ketika majlis Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon PRK P165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim
Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini bersama penyokong berarak ke perkarangan dewan ketika majlis Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon PRK P165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim

Suasana meriah di pusat penamaan calon PRK Tanjung Piai

PONTIAN: Suasana meriah dapat dilihat di pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, yang dipenuhi bakal-bakal calon PRK itu bersama penyokong mereka.

Bagaimanapun, keadaan terkawal dengan lebih 400 anggota dan pegawai polis ditempatkan di pusat penamaan calon serta kawasan berhampiran.

Keadaan cuaca setakat ini baik dan dijangka melancarkan lagi proses penamaan calon yang bermula jam 9 pagi dan berakhir sejam kemudian.

Tiga laluan yang berdekatan dengan pusat penamaan calon iaitu Jalan Osman, Jalan Ismail dan Jalan Dewan ditutup sementara sejak jam 8 pagi tadi bagi memudahkan pergerakan bakal-bakal calon dan penyokong masing-masing.

Sekitar jam 8 pagi, calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tiba bersama pimpinan tertinggi parti itu.

Antaranya, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Harun.

Menyertai mereka ialah pemimpin kanan parti komponen PH daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) serta ribuan penyokong mereka.


Calon Gerakan, Wendy Subramaniam bersama penyokong berarak ke perkarangan dewan ketika majlis Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon PRK P165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim

Turut kelihatan, calon GERAKAN yang juga Timbalan Setiausaha Agung Nasionalnya, Wendy Subramaniam, bersama Presiden parti, Datuk Dominic Lau.

Kira-kira 50 meter dari kawasan itu, kelihatan pula calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (BERJASA) yang meletakkan Presidennya, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, yang hadir bersama-sama penyokong dengan tema hijau putih.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng pula tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.50 pagi bersama pemimpin-pemimpin utama parti komponen BN.

Turut kelihatan, seorang pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock, yang hadir untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Pusat penamaan dibuka 9 pagi ini berikutan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon dan 16 November sebagai hari mengundi bagi PRK Parlimen itu.

Ia diadakan selepas penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu. - BERNAMA

Berita Harian X