Selasa, 29 Oktober 2019 | 6:51pm
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini. - Foto BERNAMA

'Saya maafkan mereka lebih awal'

PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini, tidak berkecil hati walaupun usianya dikatakan dipersenda oleh pihak tertentu.

“Saya maafkan mereka lebih awal lagi. Biasalah, kita sebagai hamba Allah perlu bersabar, sesungguhnya apa juga rezeki dan maut adalah atas ketentuan Allah.

“Selain mentaati perintah Allah, sebelum tidur kita perlu memaafkan semua orang dan bersangka baik terhadap mereka, ” katanya ketika ditemui pada program sumbangan asnaf di Kampung Sungai Burung, Pekan Nanas, di sini, hari ini.

Beliau menyampaikan bantuan keperluan harian kepada 50 golongan asnaf hasil sumbangan Tabung Ekonomi Usaha Niaga (TEKUN)

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong; Timbalan Pengerusi TEKUN, Najwah Halimah Ab Halim; Ketua Kampung Sungai Burung Kawasan 2 Mukim Jeram Batu, Mohd Aqil Md Yusof dan Pengurus TEKUN Cawangan Daerah Pontian, Poyziah Pak Dengang.

Karmaine, 66, diminta mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad, semalam yang antara lain dilapor mempersenda usia calon PH itu dan berharap tiada PRK menyusul tahun depan.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Piai itu dinamakan sebagai calon PH bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.

Karmaine berpegang kepada prinsip sentiasa menabur bakti tanpa mengira soal menang kalah dalam bertanding.

“Menang kalah itu adat pertandingan, namun apa yang diharap siapa sahaja yang terpilih kelak perlu menggalas tugas dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Menyentuh kehadirannya pada program hari ini, Karmaine berkata, ia adalah atas undangan pihak TEKUN dan tiada kena-mengena dengan kempen pilihan raya yang belum bermula.

Sementara itu, Najwah Halimah berkata, bantuan berupa keperluan harian itu bertujuan meringankan beban ditanggung penerima menerusi program ‘Jejak Usahawan’.

“Kita memilih 50 penerima dari empat kawasan iaitu Kampung Sungai Burung, Jeram Batu, Sungai Moleh dan Sungai Tempayan,” katanya.

Berita Harian X