Rabu, 16 Oktober 2019 | 1:16pm
Muhyiddin menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara 2019 di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Tanjung Piai: Calon PH diperkenal seminggu lagi

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) akan memperkenalkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, dalam tempoh seminggu lagi.

Pengarah Pilihan Raya PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya akan mengadakan majlis pengenalan calon sebelum hari penamaan calon.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Menteri Dalam Negeri berkata, calon akan diumumkan kepada semua untuk membolehkan PH menang PRK ini.

“Calon akan dimuktamadkan seminggu lagi. Iaitu hari penamaan calon.

“Kita dapatkan tokoh terbaik untuk Tanjung Piai,” katanya selepas merasmikan majlis sambutan Hari Pendaftaran Negara 2019 di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di sini, hari ini.

BH melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 November sebagai tarikh penamaan calon dengan tempoh berkempen selama dua minggu bagi PRK Parlimen Tanjung Piai.

Ia susulan kematian penyandangnya daripada BERSATU, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandang, Wee Jeck Seng daripada MCA dan Nordin Othman daripada PAS.

Berita Harian X