Ahad, 13 Oktober 2019 | 8:28pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin (tengah) bersama Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahya Madis (kiri) beramah mesra dengan anggota Bomba, pada majlis lawatan di Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

PRK Parlimen Tanjung Piai: Alu-alukan jika PH mahu letak calon wanita - Zuraida

PONTIAN: Calon wanita mungkin menjadi faktor penentu kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November depan.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida Kamaruddin, berkata pihaknya mengalu-alukan jika PH berhasrat meletakkan calon wanita bertanding kerusi berkenaan.

“Ia adalah kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan kita serahkan kepada parti itu sepenuhnya bagi menentukan calon yang layak. Bagaimanapun, saya mengalu-alukan sekiranya calon wanita ditampilkan.

“Kita memerlukan lebih ramai wakil rakyat wanita di Johor yang ketika ini masih kurang dalam PH. Jika ada ruang dan peluang, saya sangat mengalu-alukan kerana ia mampu jadi faktor tambahan kemenangan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahya Madis.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, PH akan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman ibu kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, dalam mengatur strategi dan gerak kerja jentera wanita bagi memastikan kemenangan pada PRK berkenaan.

Katanya, beliau meluangkan masa melawat ibu arwah, Norma Mohamed, 67, yang juga Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Tanjung Piai, hari ini.

“Norma ada berkongsi pandangannya mengenai gerak kerja PRK nanti, apatah lagi beliau bukan calang-calang wanita kerana berpengalaman sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai selama 30 tahun.

“Beliau amat berpengalaman sebagai penggerak dalam menjalankan gerak kerja pilihan raya bagi sayap Wanita dan sangat dikenali di Tanjung Piai.

“Justeru, beliau akan memainkan peranan supaya kerusi Parlimen Tanjung Piai kekal dimenangi PH,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Dr Md Farid, 42, pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Berita Harian X