Khamis, 10 Oktober 2019 | 9:26pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyempurnakan majlis pelancaran Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh (iRide) dan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik 2 (ETS2) di Ipoh, hari ini. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - Foto BERNAMA

'PRN lagi 3 tahun kalau esok tak kiamat'

IPOH: Khabar angin bertiup kencang mengaitkan kemungkinan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP di Perak akan keluar parti hingga membawa kepada pilihan raya negeri (PRN), dipandang sepi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Apa yang menjadi keutamaannya kini adalah mengekalkan pentadbiran negeri yang kukuh dan tidak melihat keperluan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bagi memohon perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.

“Anda daripada media sedia maklum keadaan di Perak dan memahami situasi keseluruhan. Saya dan rakan EXCO memberi tumpuan penuh terhadap usaha membangunkan negeri.

“Buat masa ini, saya sibuk dengan persiapan menyediakan Belanjawan 2020 negeri untuk dibentangkan bulan depan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh (iRide) dan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik 2 (ETS2) yang disempurnakan Sultan Perak di sini, hari ini.

Ahmad Faizal diminta mengulas pelbagai dakwaan dalam media sosial mendakwa PRN akan diadakan di Perak kerana beberapa ADUN DAP dikatakan akan keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

Semalam, akhbar ini melaporkan seorang pemimpin DAP negeri mengesahkan ada ADUN parti itu berhasrat keluar part dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketika ini, PH memerintah Perak menerusi majoriti mudah dengan 31 ADUN termasuk seorang ADUN Bebas, manakala pembangkang mempunyai 28 kerusi dengan 25 dimiliki UMNO dan tiga ADUN PAS.

Dalam PH negeri pula, sebanyak 18 kerusi dimenangi DAP, lima kerusi Parti Amanah Negara (AMANAH), empat kerusi (PKR), dua kerusi (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan seorang ADUN bebas yang menyokong kerajaan.

Ahmad Faizal menegaskan, ahli politik di negeri itu tanpa mengira parti perlu memberi fokus untuk bekerja demi rakyat dan pembangunan, sekali gus mengetepikan agenda berpolitik serta saling bercakaran hingga merugikan negara.

“PRN akan berlaku kalau dunia tak kiamat dalam tempoh tiga tahun lagi. Malaysia mengamalkan demokrasi yang mana DUN dan Parlimen mesti dibubarkan setiap lima tahun.

“Saya yakin Suruhanjaya Pilihan Raya dan semua pihak sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya setiap lima tahun. Oleh itu, PRN akan berlaku kalau kita tak kiamat esok,” katanya dalam nada sinis.

Berita Harian X