Rabu, 9 Oktober 2019 | 12:45pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Dituduh persenda kongres, Anwar kata ia politik picisan

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan video yang tersebar dan mendakwa beliau mempersenda Kongres Maruah Melayu sebagai tidak wajar.

Beliau turut menganggap video berkenaan sebagai satu bentuk politik murahan yang mahu memburukkan dirinya.

"Itu semua dipanggil politik bangang. Jelas itu (video) saya bergurau dengan Perdana Menteri dan Mohamad Sabu demi menaikkan semangat maruah ini. Ini (video) semua picisan," katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Satu klip video yang tersebar di media sosial menunjukkan Anwar bergurau kepada Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan berkata Tun Dr Mahathir Mohamad lebih bersemangat selepas menghadiri kongres berkenaan.

Anwar didakwa menggunakan perkataan 'kongres barua' dan bukan 'maruah' ketika bergurau dengan Mohamad selepas sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, kelmarin.

Anwar sebelum ini berkata tidak dapat menghadiri kongres itu di Shah Alam pada Ahad lalu kerana lewat menerima jemputan daripada penganjur.

Dr Mahathir turut menyampaikan amanat pada kongres berkenaan yang dianjurkan empat universiti awam dan badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Mohamad ketika ditemui di lobi Parlimen berkata, beliau tidak pasti apa yang disebut Anwar kerana ia tidak jelas dalam video terbabit.

“Saya tak dengar apa. Tengok video pun saya tak dengar apa-apa,” katanya.

Berita Harian X