Khamis, 3 Oktober 2019 | 3:07pm
PENGERUSI AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan memakaikan penutup mulut dan hidung pada pelajar ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Puteri 2 di Pasir Gudang, hari ini. - Foto Zain Ahmed

AMANAH siap sedia bantu jentera PH

PASIR GUDANG: Parti Amanah Negara (AMANAH) akan memberi komitmen penuh di lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dipertanggungjawabkan terhadapnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata semua komponen dalam Pakatan Harapan (PH) akur calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan bertanding mempertahankan kerusi berkenaan.

“Tidak timbul isu AMANAH atau komponen lain mahu bertanding kerana sememangnya itu kerusi BERSATU dan kami mahu ia diberikan kepada parti itu.

“AMANAH memberi sepenuh kerjasama untuk membantu dan kita serahkan sepenuhnya kepada BERSATU untuk memilih calon terbaik,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Puteri 2 di sini, hari ini.

Aminolhuda berkata, AMANAH sedia menjaga lima daripada 27 PDM) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup.

Katanya, AMANAH negeri bermesyuarat malam tadi bagi memperincikan gerak kerja menghadapi PRK Parlimen Tanjung Piai dan rancak mengumpul data serta maklumat mengenai permasalahan setempat.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Md Farid meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Berita Harian X