Selasa, 24 September 2019 | 4:23pm
SETIAUSAHA Pengurusan Kebangsaan MCA, Ling Tian Soon. NSTP/Zain Ahmed

MCA mesyuarat minggu depan bincang PRK Tanjung Piai

JOHOR BAHRU: MCA dijangka mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) berhubung kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai, minggu depan.

Setiausaha Pengurusan Kebangsaan MCA, Ling Tian Soon, berkata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, kini berada di luar negara dan dijadual pulang minggu depan.

Tian Soon yang juga Ketua Pemuda MCA Johor dan pembantu peribadi presiden MCA berkata, masih terlalu awal bagi MCA mengeluarkan kenyataan mengenai kerusi Parlimen Tanjung Piai.

“Mungkin ada mesyuarat jawatankuasa MCA Pusat minggu depan.

“Presiden kini berada di China dan sebarang kenyataan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai akan dibuat minggu depan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, SPR dilaporkan akan bermesyuarat pada 1 Oktober berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Tanjung Piai berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, Sabtu lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, dilaporkan berkata, mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun selepas pihaknya menerima notis rasmi kekosongan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, semalam.

Sementara itu, khabar angin menyebut akar umbi MCA mahu parti itu meletakkan calon bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Piai walaupun UMNO mula melobi mendapatkan kembali kerusi itu daripada parti berkenaan.

Difahamkan, akar umbi MCA mahu presiden parti bertegas dan tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang mahu mengambil kerusi berkenaan daripada mereka.

Keyakinan itu timbul berikutan kekalahan tipis calon MCA yang juga penyandang Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng kepada Dr Md Farid yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan perbezaan 524 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

PRK Tanjung Piai dilihat sebagai ujian pertama bagi kerjasama UMNO-PAS, sekali gus menilai penerimaan rakyat terhadap usaha itu.

Berita Harian X