Ahad, 22 September 2019 | 11:32am
ANTHONY Loke

Ujian besar buat PH - Loke

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) akan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, semalam.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke, berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bakal menjadi ujian besar kepada PH dan semua parti komponen perlu bersatu melaksanakan peranan masing-masing untuk mempertahankan kerusi itu.

“Beliau (Dr Md Farid) adalah seorang pemimpin berwawasan dan sering memberi mesej perpaduan dalam usaha menyatukan rakyat berbilang kaum.

“Kita akan hadapi PRK Tanjung Piai dan ia akan menjadi ujian besar buat PH.

“Bagi mengenang jasa budi dan sumbangan Dr Md Farid, kita mesti menggembleng tenaga dan menggerakkan jentera PH termasuk di Negeri Sembilan untuk pastikan kerusi Tanjung Piai dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-20, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Terdahulu, semua perwakilan dan pemimpin yang hadir turut bertafakur selama seminit pada awal sesi konvensyen itu sebagai menghormati pemergian Dr Md Farid.

Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Naib Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Piai, meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi di Hospital Pontian akibat serangan jantung.

Berita Harian X