Rabu, 18 September 2019 | 3:06pm
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertukar dokumen selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional diantara dua parti berkenaan sempena Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, Sabtu lalu. - NSTP/Aizuddin Saad

'PAS perlu buat penafian jika betul ikhlas'

KUALA LUMPUR: PAS perlu menafikan pernah menuduh UMNO sebagai kafir dalam melaksanakan kerjasama melalui pemeteraian Piagam Muafakat Nasional, Sabtu lalu.

Bekas Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib, berkata penafian itu penting walaupun jika PAS tidak membuat kenyataan berhubung isu mengkafirkan UMNO.

Katanya, impak doktrin mengkafirkan UMNO amat besar bagi akar umbi parti berkenaan dan dijadikan bahan ceramah sejak sekian lama.

“Sebagai parti yang memperjuangkan Islam, adalah elok jika PAS membuat penafian itu.

“PAS mengambil langkah besar (bekerjasama dengan UMNO), maka kena buat penafian yang isu mengkafir ini tidak pernah berlaku.


Bekas Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib. - Arkib NSTP

“Tidak salah kita mengakui kesilapan jika benar ikhlas bekerjasama,” katanya kepada BH, sebagai mengulas kerjasama politik UMNO-PAS.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengakui tidak faham bagaimana UMNO boleh bekerjasama dengan PAS yang pernah menggelarnya kafir.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, berkata ahli UMNO dan PAS tegar tidak dapat menerima kerjasama UMNO-PAS susulan perseteruan sejak sekian lama.


Bekas Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat. - Arkib NSTP

Selama ini, katanya, PAS menggunakan hujah agama untuk menolak UMNO dan doktrin itu sudah berakar dalam minda penyokong tegar kedua-dua parti.

“Suami dan isteri bercerai kerana perbezaan politik ini, keluarga berpecah, solat dua imam, satu kampung dua masjid dan kariah berpecah.

“Sukar untuk mereka bekerjasama. Saya jangka PAS dan UMNO akan menghadapi masalah besar mengagihkan kerusi terutamanya di pantai timur.

“Bagaimanapun, pemimpin mereka akan terus mencuba dan jika tidak berjaya selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang, mereka boleh membawa haluan sendiri,” katanya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor.

Berita Harian X