Sabtu, 14 September 2019 | 6:34pm
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

Pentadbiran negeri dikuasai UMNO, PAS berubah?

KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS merancang mengubah barisan kepemimpinan dalam pentadbiran negeri dikuasai kedua-dua parti itu susulan termeterainya Piagam Muafakat Nasional, hari ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata perkara yang terkandung dalam perancangan kedua-dua parti itu akan dibincang dengan semangat kekeluargaan.

Katanya, kedua-dua parti memerlukan masa kerana piagam berkenaan baru dimeterai.

“Kita perlu tunggu bila tiba masa yang sesuai dan melihat lihat perkembangan semasa,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Piagam Muafakat Nasional sempena Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung kedua-dua parti, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan.

Ketika ini, PAS mentadbir kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu manakala Barisan Nasional (BN) berkuasa di Pahang dan Perlis.

Ditanya mengenai bentuk kerjasama kedua-dua parti, Hadi berkata, kerjasama yang diwujudkan adalah berdasarkan perkembangan semasa dan perubahan politik tanah air.

Apa yang penting, katanya, kerjasama itu menjadikan UMNO dan PAS tidak bertanding di kawasan pilihan raya yang sama.

“UMNO dan PAS akan bersama dalam pilihan raya, namun secara objektifnya hanya dibincang apabila tiba pilihan raya,” katanya.

Beliau turut membayangkan kerjasama politik dengan UMNO dikekalkan bukan hanya demi kebaikan kedua-dua parti tetapi demi kepentingan keseluruhan umat.

“Kerjasama ini bukan bentuk pakatan politik, ini tolong menolong dalam perkara yang baik.

“Kerjasama seperti ini dipersetujui zaman Tok Guru Nik Aziz (bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) masa beliau masih hidup.

“Kerjasama (PAS-UMNO) pada era 1970-an dulu bersifat pakatan politik, kemudian kita perkenalkan pendekatan baru yang dibincang oleh Majlis Syura Ulama,” katanya.

Menegaskan masih terlalu awal membincangkan aspek pengagihan kerusi untuk pilihan raya, Hadi berkata, keutamaan kini adalah untuk bekerja bagi menarik sokongan rakyat.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, penyatuan UMNO dan PAS digerakkan di peringkat akar umbi ke atas dan bukan sebaliknya.

“Kerjasama dua parti ini adalah wadah penyatuan rakyat Malaysia bukan ekslusif kepada dua parti.

“Jawatankuasa perunding dan teknikal bersama akan memperhalusi perjanjian persefahaman untuk memperincikan piagam itu,” katanya.

Berita Harian X