Jumaat, 13 September 2019 | 6:13pm
Noraini bersama Nuridah bersama penyokong pada Himpunan Wanita Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Penyatuan UMNO-PAS untuk menang PRU - Noraini

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mengakui penyatuan ummah dengan PAS yang digerakkan ketika ini bermatlamat politik demi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus membentuk kerajaan.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, mendakwa usaha bagi penyatuan itu amat kena pada waktunya kerana umat Islam kini ditindas.

“Sekarang ini kita bekerjasama, apa tujuan kita? Kita akhirnya adalah parti politik, bila masuk politik, kita tahu kita nak menang PRU dan dengan penyatuan ummah ini adalah waktu terbaik dalam keadaan Islam ditindas.

“Keadaan ini memberi galakan bergerak ke depan dan akhirnya dalam PRU akan datang kita nak jadi kerajaan, itu fokus utama kita.

“Biar kepemimpinan parti fikirkan yang terbaik untuk kedua-dua parti, bagaimana dan siapa (jadi Perdana Menteri). Kami adalah sayap, kami ada pemimpin...,” katanya pada sidang media sempena Himpunan Wanita Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada pergerakan itu memikirkan siapa bakal perdana menteri jika gabungan UMNO dan PAS berjaya menumbangkan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.


Noraini turut membidas veteran DAP, Lim Kit Siang yang membangkitkan isu siapa bakal perdana menteri jika gabungan UMNO dan PAS memenangi PRU-15. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Noraini turut membidas veteran DAP, Lim Kit Siang yang membangkitkan isu siapa bakal perdana menteri jika gabungan UMNO dan PAS memenangi PRU-15.

“Kita tanya dia balik, adakah mereka tahu mereka akan menjadi kerajaan sepenggal sehingga mereka pula hendak fikirkan siapa perdana menteri yang akan kita bawa?” soalnya.

Pada sidang media yang sama, Ketua Dewan Muslimat PAS, Senator Nuridah Mohd Salleh, berkata pihaknya yakin tidak akan menjadi mangsa sengatan kali kedua UMNO selepas PAS ditendang Barisan Nasional (BN) pada 1978.

“Bagi PAS yang paling utama ialah kelangsungan Islam, dari situ kita melangkah dan kita kuat kerana Allah, bergantung kepada Allah, bekerja, bersabar dan bertawakal.

“Apa yang PAS buat (bersatu dengan UMNO), insya-Allah pada kami tidak salah dari sudut al-Quran dan as-Sunnah. Membujur lalu melintang patah PAS akan redah kerana Allah,” katanya.

Nuridah berkata, PAS dan UMNO juga tidak perlu melayan kritikan pihak yang tidak senang dengan kerjasama antara dua parti itu kerana yakin penyatuan mereka adalah berprinsip dan sedar ia bertepatan dengan hukum syarak.

“Al-Quran ajar kita supaya jangan takut dengan celaan, kejian, maka PAS dan UMNO perlu bergerak ke depan,” katanya yang menyifatkan PAS dan UMNO sebagai adik beradik yang akan berbaik semula selepas bertelagah.

Secara berseloroh Nuridah turut menggalakkan perkahwinan antara orang UMNO dan PAS bagi menyemarakkan lagi semangat penyatuan ummah, malah perkahwinan antara ahli dan penyokong dua parti itu bukan perkara baharu.

“Sebenarnya itu (perkahwinan antara orang UMNO dan PAS) sudah lama berlaku...diharapkan pemangkin kepada penyatuan ini berterusan dan ia tidak pelik pun,” katanya.

Berita Harian X