Sabtu, 7 September 2019 | 3:07pm
Naib Presiden PKR, Tian Chua. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kem berbeza dalam PKR fenomena sihat - Tian Chua

BANGI: Kewujudan pasukan atau kem yang berbeza dalam Pakatan Harapan (PH) adalah satu fenomena yang sihat, kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Katanya, semua parti berdepan dengan isu kewujudan puak atau kem yang menyokong pemimpin tertentu, namun ia bukan satu masalah besar kepada PKR.

Beliau berkata, apa yang penting dalam parti dan mampu mengikat perpaduan ahli serta pemimpin dalam PKR ialah kesetiaan mereka kepada perjuangan parti.

“Memang ada perbezaan dalam parti dan ada puak tertentu, tapi tidak ada masalah. Semua parti mesti ada puak-puak.

“Ada yang kata PKR pecah kepada dua, ada pengikut (Presiden PKR, Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan ada yang ikut (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali. Itu tidak boleh disebut oleh ahli parti sebagai tidak ada.

“Kenapa ada dua? Kenapa tidak ada yang sokong Tian Chua ke? Perbezaan dalam parti itu fenomena yang sihat kalau kita dapat uruskan dengan betul.

“Bagaimanapun kita berbeza, akhirnya kita setia terhadap perjuangan parti dan menjaga perpaduan parti. Ini yang akan jadikan kita kuat semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Serdang di sini, hari ini.

Namun, ketika berada di Terengganu akhir bulan lalu, Anwar menegaskan tidak wujud dua kem di dalam PKR seperti digembar gemburkan banyak pihak.

Tian Chua mengakui isu kewujudan kem tertentu dalam PH juga mulai melanda pakatan itu ketika ini.

Katanya, wujud pihak tertentu dalam PH yang cuba memecahbelahkan PH seperti mewujudkan sentimen kebencian dalam PKR terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin DAP.

“Sekarang ada empat parti dalam PH dan ada yang cuba mengapi-apikan perbezaan antara kita. Bila PH pecah, siapa yang akan dapat manfaat. Kita harus ingat perpaduan ini hanya apabila PH kekal bersatu.

“Ada yang buat kem untuk benci Dr Mahathir supaya PKR benci beliau. Ada orang yang khusus untuk buat membenci (Penasihat DAP) Lim Kit Siang dan (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng.

“Mereka kata semua masalah datang daripada mereka. Ini sudah dirancang dengan baik.

“Kita jangan benarkan ada anasir tertentu yang cuba pecah belah parti. Kita jangan benarkan mereka untuk pecahkan PH, sentiasa nampak PH dalam krisis.

“Keempat-empat parti ini perlu teguh bersama dalam memastikan Putrajaya terus dipegang oleh PH,” katanya.

800 dibaca
Berita Harian X