Rabu, 28 Ogos 2019 | 4:52pm
KEPEMIMPINAN UMNO dan PAS bertemu di kediaman Ahmad Zahid bagi memperhalusi piagam yang akan ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September ini. - Foto FB Zahid Hamidi

Pemimpin tertinggi UMNO, PAS bertemu bincang piagam penyatuan ummah

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan tertinggi UMNO dan PAS hari ini bertemu bagi membincangkan agenda pengukuhan dan penyatuan ummah melalui piagam yang akan ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September ini.

Pertemuan yang berlangsung di kediaman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid itu dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Melalui laman Facebook, Ahmad Zahid berkata, pertemuan dan perbincangan ke arah penyatuan ummah itu berlangsung dalam suasana amat positif.

“Ada beberapa insan yang membuatkan dunia ini lebih baik kerana keberadaannya. Kalian adalah seorang dari insan tersebut. Pertemuan dan perbincangan saya dan rakan-rakan kepemimpinan UMNO bersama Datuk Seri Presiden PAS dan saf kepemimpinan PAS di kediaman saya.

“Pertemuan dan perbincangan amat positif dan memperkukuhkan lagi penyatuan ummah,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika dihubungi secara ringkas menjelaskan situasi yang berlangsung selama dua jam itu adalah pertemuan biasa pimpinan kedua-dua parti dalam menjayakan agenda penyatuan ummah.

Katanya, ia bagi mendapatkan laporan berhubung persiapan majlis menandatangani piagam berkenaan.

“Secara umum persiapan berjalan lancar dan berada atas landasan yang tepat,” katanya.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yang dihubungi turut mengakui pertemuan itu hanya membincangkan persediaan menghadapi Himpunan Penyatuan Ummah.

"Ia hanya pertemuan santai sahaja, tiada perkara yang berat, serius dibincangkan, hanya berkisar persiapan menghadapi 14 September ini," katanya.

Yang turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut kelihatan dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa dan rakan sejawatnya dari PAS, Datuk Takiyuddin Hasan.

Kedua-dua parti menyasarkan kehadiran 10,000 ahli serta penyokong pada himpunan berkenaan.

Berita Harian X