Selasa, 13 Ogos 2019 | 5:09pm
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Parti komponen PH tidak bincang isu Jawi, khat

KULIM: Parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak membincangkan isu berkaitan pembelajaran Jawi dan khat di sekolah, sebaliknya menyerahkannya kepada Kabinet menentukannya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kabinet sudah memutuskan Kementerian Pendidikan bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu terbabit dan sebarang pengumuman hanya dibuat Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, Kabinet sudah berbincang dan membuat keputusan berhubung isu itu dan sebarang pandangan parti adalah tidak perlu ketika ini.

“Isu ini sudah dibincangkan pada peringkat Jemaah Menteri dan pengumuman daripada semasa ke semasa mengenainya dibuat Menteri Pendidikan.

“Kita tidak bincang soal pendirian parti (PKR) berhubung isu ini kerana fasa sekarang adalah bincang daripada posisi kerajaan dan serahkan semuanya kepada Kementerian Pendidikan,” katanya selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Parlimen Kulim-Bandar Baharu di Masjid Abu Bakar As-Siddiq di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian parti komponen PH berhubung isu pembelajaran Jawi dan khat di sekolah yang hangat diperkatakan ramai pihak.

Ini susulan tindakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang masih bertegas menolak pembelajaran Jawi dan khat, walaupun kerajaan memutuskan ia subjek pilihan.

Terdahulu, sebanyak 40 lembu dikorbankan menerusi program korban yang berlangsung serentak di Taman Kenari dan Dewan Seri Serdang, Serdang.

Berita Harian X