Khamis, 8 Ogos 2019 | 8:59pm
SETIAUSAHA Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah (tengah) sewaktu menjawab soalan media selepas Mesyuarat Dwi Bulanan kali ketiga di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam. Turut bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan. NSTP/Sairien Nafis

PH Selangor sokong Amirudin

SHAH ALAM: Pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) Selangor menyatakan sokongan padu serta keyakinan terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Amirudin Shari.

Keputusan bersama itu dibuat semua pemimpin parti komponen itu diumumkan Setiausaha Pakatan Harapan negeri, Borhan Aman Shah, selepas mesyuarat dwibulanan kali ketiga diadakan.

Katanya, keputusan itu diambil selepas semua kepemimpinan parti komponen PH negeri itu bertekad untuk terus melonjak pertumbuhan ekonomi Selangor, selain memastikan kebajikan rakyat terbela.

“Justeru, kesentosaan, ketenteraman dan kestabilan negeri amat mustahak untuk dipelihara demi pembangunan ekonomi negeri dan kemaslahatan rakyat.

“Kami juga menzahirkan sokongan kepada Amirudin sebagai Pengerusi PH Selangor,” katanya ketika membacakan kenyataan bersama parti komponen PH selepas mesyuarat terbabit yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Terdahulu, mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Amirudin turut disertai beberapa pemimpin PH antaranya, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Naib Pengerusinya, Ng Suee Lim; Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Izham Hashim dan timbalannya, Shaari Sungib serta Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri, Datuk Abdul Rashid Asari.

Borhan yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, berkata mesyuarat terbabit yang berlangsung kira-kira dua jam, tidak menyentuh sebarang isu berkenaan pindaan enakmen.

Katanya, dalam perbincangan itu juga, semua parti bawah PH turut menolak desas-desus kononnya Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Suee Lim akan digantikan.

Borhan berkata, PH Selangor turut menolak laporan keretakan hubungan sesama mereka dan usaha menggugat kepemimpinan Menteri Besar.

“Desas-desus ini mempunyai agenda jahat dari musuh politik bagi memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian dalam PH Selangor.

“Kami sepakat bagi meneruskan gerak kerja dalam melaksanakan agenda untuk manfaat rakyat dan Selangor Darul Ehsan,” katanya.

Beliau berkata, PH Selangor turut berazam memastikan Selangor terus maju selain mengutamakan agenda mengupayakan rakyat.

Berita Harian X