Rabu, 7 Ogos 2019 | 6:52pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Sharifah Mahsinah Abdullah

UMNO-PAS setuju tak bertanding sesama sendiri dalam PRU-15

KOTA BHARU: UMNO dan PAS bersetuju untuk tidak bertanding di kerusi sama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata itu antara intipati paling besar dipersetujui antara dua parti terbabit yang akan ditandatangani bulan depan.

Katanya, perkara itu bukan sahaja membabitkan kerjasama antara UMNO dan PAS tetapi juga Barisan Nasional (BN) dengan Gagasan Sejahtera (GAGASAN) bagi menghadapi PRU-15.

“Kita muktamadkan hanya akan ada pertembungan dua penjuru yang mana semua pihak akan duduk berbincang mengenai calon yang akan bertanding dan memastikan tidak ada pertembungan berlaku antara dua parti ini.

“Mana-mana kerusi yang dimenangi oleh kedua-dua parti dalam PRU-14 akan diteruskan (bertanding) oleh parti terbabit, kecuali jika ada sebarang perundingan lain dan kita akan berbincang untuk menentukan calon yang akan bertanding bagi kerusi yang tewas.

“Pada dasarnya, UMNO ada 38 kerusi (Parlimen) manakala PAS terdapat 18 kerusi yang akan terus diwakili oleh kedua-dua parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program lawatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, ke tapak kebakaran di Kampung Dusun Muda, di sini, petang tadi.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, intipati lain yang terdapat dalam piagam terbabit termasuk bagi memantapkan hubungan dua parti di peringkat negeri dan kawasan.

“Perkara lebih lanjut akan diumumkan nanti ketika Piagam Kerjasama Muafakat PAS-UMNO yang akan ditandatangani pada 14 September di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur,” katanya.

Berita Harian X