Selasa, 6 Ogos 2019 | 8:24pm
PERDANA Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Asyraf Hamzah

PM adakan pertemuan tertutup dengan Ahli Parlimen, Senator, Menteri Besar BERSATU

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad, mengadakan perjumpaan tertutup dengan Ahli Parlimen, Senator dan Menteri Besar dari parti itu, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di laman Twitternya semalam berserta empat gambar termasuk gambar semua ahli Parlimen, Senator dan Menteri Besar yang hadir.

“Kami memberikan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir dan akan tumpu kepada perjuangan rakyat. Masalah rakyat, masalah kami.

“Tidak perlu bongkak dan sombong, ikhlas berkhidmat untuk semua,” katanya.

Bagaimanapun, Syed Saddiq tidak menyatakan lokasi dan tujuan pertemuan diadakan.

Hadir sama, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya; Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Penerangan parti, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Antara yang kelihatan dalam gambar berkenaan ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Antara Ahli Parlimen yang hadir, Datuk Mustapha Mohamed (Jeli); Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing).

Turut serta, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Datuk Shabudin Yahya (Tasek Gelugor); Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam); Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran); Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai); Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat) dan Datuk Zakaria Edris (Libaran).

Menyertai mereka ialah Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Muslimin Yahaya (Sungai Besar) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Berita Harian X