Selasa, 6 Ogos 2019 | 5:16pm
KETUA Wanita PKR, Haniza Mohamee Talha.

'Haniza tak patut jadi duri dalam daging'

KUALA LUMPUR: Sekretariat Ketua-ketua Cabang PKR Seluruh Malaysia membidas kenyataan Ketua Wanita parti, Haniza Mohamee Talha, yang menyifatkan tindakan mengumpul tanda tangan pemimpin parti tanda sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai membuang masa.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, sekretariat menegaskan, Haniza sepatutnya senada dengan aspirasi akar umbi dan menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan.

Katanya, Haniza selaku Ketua Wanita PKR perlu menggembleng kepemimpinan sayap itu supaya memberi sokongan padu terhadap Anwar sebagai Presiden PKR, bagi menggambarkan kekuatan parti.

“Kami membawa suara ahli bawahan dalam menyatakan sokongan kepada Presiden PKR sebagai Perdana Menteri kelapan seperti dipersetujui semua parti dalam Pakatan Harapan, bukannya menjadi suara Presiden PAS atau Presiden UMNO.

“Malah, kami juga bertanggungjawab memperkukuhkan parti melalui akar umbi.

“Sebagai antara sayap utama parti, ketua wanita PKR sepatutnya mempunyai suara senada dengan aspirasi akar umbi tetapi beliau memilih menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan.

“Ketua wanita juga mesti menyarankan seluruh pimpinan sayap itu memberi sokongan padu kepada Presiden PKR bagi menggambarkan kekuatan dan keutuhan parti,” kata kenyataan itu.

Sekretariat Ketua-ketua Cabang PKR Seluruh Malaysia turut mendakwa sayap Wanita PKR seolah-olah kehilangan arah sejak Haniza menjadi ketua.

Kenyataan itu menyebut, Haniza dikatakan tidak turun padang berjumpa pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan ketua wanita cabang seluruh negara bagi mendengar dan rintihan suara akar umbi.

“Berhubung saranan supaya kita berusaha membangunkan negara sebagai agenda utama, kami berasa tugas itu harus dipikul mereka yang diberi amanah sebagai EXCO dan menteri.

“Sebagai suara akar umbi, kami berharap semua yang dipertanggungjawabkan melaksanakan tugas dengan cemerlang dan membantu kepayahan rakyat dengan memulihkan ekonomi secepat mungkin.

“Ketua-ketua Cabang seluruh negara tidak dipaksa seperti dakwaan setengah pihak. Kami lakukan tanpa mengharapkan imbuhan atau arahan Presiden.

“Kami menyarankan ketua Wanita menggerakkan usaha memperkasakan tugas beliau sebagai EXCO Selangor,” katanya.

Berita Harian X