Isnin, 5 Ogos 2019 | 5:03pm
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto NSTP

'Ketua cabang berhak zahir sokongan'

PUTRAJAYA: Ketua cabang PKR di seluruh negara berhak menzahirkan sokongan kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui apa cara sekalipun termasuk dengan mengumpul tanda tangan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata menjadi lumrah dalam politik apabila ada ahli mahu menyatakan sokongan terhadap pemimpin yang dizahirkan melalui cara tertentu, termasuk dalam parti demokratik seperti PKR.

“Apabila ada sejumlah ketua cabang nak menyatakan sokongan kepada presiden, itu lumrah kerana dalam politik ini (perkara) biasa, ada sokong, ada tak sokong.

“Pilihan ketua cabang nak menzahirkannya (mengumpul tanda tangan di peringkat cabang) tak mengapalah, kita biar proses itu, (kumpul tanda tangan) bukanlah menjejaskan ekonomi negara.

“PKR ini parti demokratik, saya tak nak meremehkan kebijaksanaan ketua cabang, mereka tahu apa yang mereka buat,” katanya kepada media selepas hadir sesi dialog menteri bersama belia di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha, yang dilaporkan berkata tindakan mengumpulkan tanda tangan pemimpin parti di peringkat cabang di seluruh negara bagi menyokong kepemimpinan Anwar sebagai membuang masa.

Menerusi laporan sebuah portal hari ini, Haniza dipetik berkata, perbuatan mengambil tanda tangan tidak menyatukan, malah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi.

Semalam, Ketua PKR Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa lebih 90 peratus atau 197 daripada 219 ketua cabang PKR di seluruh negara menyokong kepemimpinan Anwar dan menafikan berlaku perpecahan dalam parti itu.

Noor Amin mendakwa, semua ketua cabang itu telah dihubungi dan tanda tangan pengesahan mereka turut diperoleh berdasarkan perakuan mereka yang menandatangani resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan PKR di Port Dickson pada 21 Julai lalu.

610 dibaca
Berita Harian X