Isnin, 5 Ogos 2019 | 10:21am
DATUK Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

'Usah jadi batu api hubungan Anwar-Azmin'

KUALA TERENGGANU: Jangan ada pihak terutama ahli jawatankuasa PKR di peringkat pusat dan negeri menjadi batu api menjejaskan hubungan baik antara Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Wanita PKR negeri, Sharifah Norhayati Syed Omar, berkata ahli parti termasuk pucuk pimpinan di peringkat pusat dan negeri sepatutnya terus memberi sokongan kepada Anwar dan Mohamed Azmin.

Katanya, gandingan dan peranan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dan Mohamed Azmin selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi mampu membantu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memulihkan ekonomi negara.

“Wanita PKR negeri sehaluan dengan pendapat ketua kami, Haniza Mohamed Talha iaitu jangan ada antara ahli jawatankuasa parti di peringkat pusat dan negeri menjadi batu api apabila mengeluarkan pelbagai kenyataan yang jika dibiarkan berterusan boleh meretakkan hubungan baik antara dua pemimpin itu,” katanya di sini, hari ini.

Sharifah Norhayati mengulas pelbagai kenyataan dikeluarkan jawatankuasa PKR di peringkat pusat dan negeri mengenai tindakan Mohamed Azmin yang menyatakan Dr Mahathir perlu berkhidmat sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, Wanita PKR negeri menyokong pendirian Mohamed Azmin yang mahu memberi fokus untuk membangunkan negara.

Katanya, Wanita PKR negeri beranggapan kenyataan Mohamed Azmin bahawa Dr Mahathir perlu berkhidmat sehingga habis penggal tidak menggambarkan beliau tidak menyokong Anwar sebagai pengganti Perdana Menteri.

“Kita harap semua pihak terutama kepemimpinan parti di peringkat pusat dan negeri memberi tumpuan untuk menambah jumlah ahli parti sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang.

“Pertelagahan sesama sendiri bukannya amalan parti, sebaliknya semua ahli jawatankuasa berganding bahu membuat persiapan menghadapi PRU akan datang,” katanya.

2386 dibaca
Berita Harian X