Ahad, 4 Ogos 2019 | 3:02pm
Abang Johari melancarkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon 2, di Dewan Serbaguna, Sameba, Batu Kitang, Kuching. - NSTP/L Manimaran

Pengalaman mengajar GPS selesa bergerak sendiri

KUCHING: Pengalaman berada dalam dua pakatan nasional, Parti Perikatan dan Barisan Nasional (BN) mengajar parti tempatan yang kini membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) bergerak sendiri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata ketika berada dalam dua pakatan nasional itu, parti tempatan perlu mengikut persefahaman antara parti komponen lain, sekali gus menyebabkan parti tempatan tidak dapat bergerak dengan nada sendiri.

“Pada pilihan raya umum lalu, kita meletakkan calon di 31 kawasan Parlimen di negeri ini, dan menang 19, iaitu lebih dua pertiga. Jadi, kita masih mendapat sokongan kuat rakyat Sarawak.

“Kita mengambil langkah berani dengan menubuhkan GPS kerana mahu menumpukan kepada pembangunan dan kemakmuran Sarawak,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian GPS Zon 2, di Dewan Serbaguna Kampung Sameba, Batu Kitang, di sini, hari ini.

Zon 2 membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan, Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Batu Kitang dan Batu Kawah.

Bagi enam kawasan berkenaan, GPS hanya menguasai dua kerusi, masing-masing di Batu Lintang dan Batu Kawah.

GPS ditubuhkan pada 12 Jun 2018, sebulan kekalahan BN sebagai Kerajaan Persekutuan pada PRU-14 dengan komponen parti dari Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Hadir sama, Presiden PRS, Datuk Amar James Jemut Masing, Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian, Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Presiden PDP, Datuk Anthony Nogeh Ngumbek.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Presiden PBB dan Presiden GPS, berkata GPS sentiasa mengutamakan rakyat Sarawak dan akan mencari jalan mencari dana bagi tujuan membiayai projek pembangunan negeri ini.

“Kami komited untuk menggunakan kekayaan Sarawak kepada penduduk bandar dan luar bandar,” katanya.

Berita Harian X