Isnin, 29 Julai 2019 | 6:45pm
PENGERUSI Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, Amirudin Shari. - Foto Faiz Anuar

Sokongan terhadap Anwar sudah dibuktikan dalam jawatan Presiden - Amirudin

SHAH ALAM: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, Amirudin Shari menegaskan beliau tidak akan menandatangani dokumen bagi menyatakan sokongan terhadap Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor, berkata sokongan semua pemimpin PKR negeri kepada Anwar sudah dibuktikan menerusi kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan Presiden pada pemilihan parti lalu.

“Presiden tidak pernah dicabar, Presiden tidak dicabar langsung dalam pemilihan parti. Sokongan semua pihak (kepada Presiden) tidak pernah dipertikaikan.

“Jadi, kenapa hendak perbaharui sokongan? Bagi saya tidak lihat kewajaran untuk beramai-ramai tandatangan surat sokongan ini.

“Bagi Kerajaan Selangor, kita sokong Anwar selaku presiden dan Azmin (Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) yang dapat undi majoriti serta seluruh barisan kepemimpinan parti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, surat sokongan hanya diperlukan jika terdapat usul tidak percaya terhadap Anwar.

“Namun, perkara ini tidak wujud dan saya percaya sampai habis penggal pun tidak akan berlaku cubaan untuk rampas kuasa jawatan presiden.

“Jadi tidak timbul isu perbaharui tekad kepada Presiden parti. Surat sokongan ini pun hanya untuk menunjukkan pengukuhan sokongan kepada Anwar sebagai presiden parti,” katanya.

Sokongan penuh daripada pemimpin PKR negeri terhadap Anwar diperlukan berikutan terdapat khabar angin mendakwa berlaku perpecahan dalam parti itu susulan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan parti berkenaan.

Berita Harian X