Jumaat, 26 Julai 2019 | 12:25pm
Fuziah Salleh (kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP

PKR Pahang sokong Anwar

KUANTAN: Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang memberi sokongan penuh kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk terus menjalankan tugas sebagai pemimpin utama parti itu.

Pengerusi PKR negeri, Fuziah Salleh, berkata kenyataan rasmi mengenai sokongan padu itu dijangka dapat dikeluarkan petang ini dan akan diedarkan kepada media sebaik proses mengumpul tandatangan semua ketua Cabang selesai.

“Proses (mengumpul tandatangan) sudah dijalankan sejak malam tadi dan kenyataan rasmi mengenai pendirian PKR Pahang dapat dikeluarkan hari ini.

“Kita menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai Presiden dan saya jangkakan antara 10 atau 11 daripada 14 Ketua Cabang di Pahang menandatangani kenyataan rasmi itu,” katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Global Village anjuran bersama AIESEC Malaysia, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan pejabat ahli Parlimen Kuantan di UMP Kampus Gambang, di sini, hari ini.

Fuziah (tengah) melawat gerai pameran daripada pelajar Sudan, ketika hadir merasmikan Program Global Village Anjuran AIESEC di UMP Kampus Gambang. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Seramai 11 pelajar antarabangsa dan kira-kira 100 pelajar dari lima sekolah sekitar Kuantan menyertai program berkenaan. Yang turut hadir, Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusuff.

Jumaat lalu, lima daripada enam Pengerusi PKR negeri mengadakan sidang media bersama di ibu negara bagi menyatakan sokongan penuh mereka terhadap Anwar dan menubuhkan Majlis Pengerusi Pimpinan PKR negeri.

Mereka ialah Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul; Pengerusi PKR Melaka, Halim Bachik; Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail; Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan dan Pengerusi PKR Kelantan, Mohamad Supardi Md Noor.

Bagaimanapun, Pengerusi PKR Perlis, Amran Kamarudin yang turut menyatakan sokongan kepada Anwar tidak hadir pada sidang media berkenaan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai khabar angin Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyertai parti GERAKAN, Fuziah berkata soalan itu lebih sesuai ditanyakan sendiri kepada Mohamed Azmin dan enggan mengulas lebih lanjut.

Berita Harian X