Sabtu, 20 Julai 2019 | 11:36pm
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Tindakan tegas ke atas pemimpin sebar video lucah - Azmin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tindakan tegas harus dikenakan terhadap pimpinan dan anggota parti yang terbabit dalam penyebaran video lucah.

Beliau berkata demikian susulan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau menerima menerima baik kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, bahawa hasil proses pengecaman wajah ke atas video lucah yang tular adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan Mohamed Azmin dengan pelaku.

“Setelah meneliti kenyataan penuh YB @anwaribrahim petang ini, saya mengambil maklum pendirian beliau yang menerima hasil siasatan yang diumumkan oleh KPN (Ketua Polis Negara) di mana saya tidak terlibat dalam video yang menjadi bahan fitnah.

“Saya juga mengambil maklum ketetapan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pimpinan dan anggota parti yang terlibat dalam sebaran video ini. Ini selari dengan ketegasan saya dari awal bahawa politik kotor dalaman parti mesti diperangi habis habisan,” katanya dalam kicauan di Twitternya, malam ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebelum itu menaikkan kicauan sedang memahami perkembangan terbaharu itu setelah terbaca ‘kenyataan penuh’ secara bertulis oleh Anwar.

Anwar pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat Keadilan sesi 2018/2021 di Port Dickson semalam menyatakan gembira dengan hasil siasatan polis meskipun siasatan masih berterusan.

Beliau juga berkata, pihaknya pihaknya tidak akan membuat sebarang keputusan sehingga laporan konlusif dan berkata tindakan tegas akan diambil mengikut perlembagaan parti jika terdapat pembabitan anggota parti yang disabitkan kesalahan undang-undang.

Anwar dan Azmin dilihat saling berbalas kenyataan apabila isu video lucah itu memasuki episod terbaharu dengan Anwar sendiri menyatakan Ahli Parlimen Gombak itu perlu bercuti jika terbukti video berkenaan tulen.

Kenyataan Anwar itu diselar Azmin yang meminta Ahli Parlimen Port Dickson itu bermuhasabah dan cermin diri.

Episod itu kemudiannya bertambah hangat apabila seramai 28Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kepemimpinan PKR mengeluarkan kenyataan bersama supaya Anwar tidak mengeluarkan kenyataan yang memecah-belah parti.

Pergesaran dua kem itu dilihat semakin ketara apabila Azmin Ali dan pemimpin lain dilihat tidak hadir pada program PKR pusat Port Dickson yang berakhir esok.

3115 dibaca
Berita Harian X